SHAH ALAM - Saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar rakyat mengamalkan sikap berjimat cermat dan berhemah dalam perbelanjaan perlu diambil perhatian serius ekoran ketidaktentuan ekonomi global meningkat mendadak akibat konflik Asia Barat.Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM), Profesor Tan Sri Noor Azlan Ghazali berkata, Malaysia amat bergantung kepada prestasi ekonomi global dan disifatkan negara ‘kecil-terbuka’.Menurut penganalisis ekonomi itu, sekitar 60 hingga 70 peratus ekonomi negara bergantung kepada permintaan global, sekali gus memberi bayangan bahawa eksport berkemungkinan terjejas."Indeks petunjuk ketidaktentuan perdagangan, polisi dan ekonomi global mencanak naik."Bekalan makanan kita turut bergantung kepada import. Walaupun sumbernya bukan daripada negara-negara rantau teluk, kesan ketidakstabilan global mengesani semua negara. Jadi, jangan ambil ringan."Kerencatan bekalan minyak dunia dan kenaikan kos pengangkutan akibat krisis ini menyebabkan ketidakstabilan ekonomi global dan kenaikan harga minyak dunia. Rantaian pengeluaran ekonomi dunia berkait rapat dengan faktor-faktor ini," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.Noor Azlan berpandangan, kerajaan, industri dan rakyat secara keseluruhan sebaiknya membuat persediaan awal bagi berdepan sebarang kemungkinan."Semua pihak perlu menilai bagaimana krisis ini sekiranya berpanjangan dan meluas, mungkin menjejaskan pengoperasian serta perekonomian masing-masing."Apakah tindakan-tindakan awal yang sewajarnya? Apakah yang diperlukan sekiranya krisis ini berpanjangan?"Justeru, saranan Perdana Menteri perlu diambil perhatian serius. Sediakan payung sebelum hujan," ujar beliau.Sebelum ini, Anwar menasihatkan rakyat supaya berjimat cermat dan berhemah dalam perbelanjaan susulan ketidaktentuan ekonomi dunia yang dipengaruhi konflik antarabangsa ketika ini.Beliau berkata, orang ramai perlu mengambil langkah berjaga-jaga termasuk menyimpan wang dan mengelakkan pembaziran khususnya dalam tempoh Ramadan serta menjelang Aidilfitri.Menurutnya, keadaan dunia ketika ini sedang berdepan pelbagai konflik yang memberi kesan langsung kepada ekonomi global termasuk peningkatan harga minyak serta kos barangan asas.