KUALA LUMPUR - Usaha pemerkasaan wanita bukan sekadar agenda kesaksamaan sosial, malah merupakan strategi pembangunan nasional yang penting dalam memacu pertumbuhan negara yang mampan, inklusif dan berdaya tahan.Ketua Pegawai Eksekutif Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Azril Mohd Amin berkata, realiti semasa bagaimanapun menunjukkan bahawa ketidakadilan struktur serta amalan diskriminasi terhadap kedudukan dan peranan wanita masih lagi wujud.Menurut beliau, keadaan itu terus menyempitkan ruang serta peluang kaum itu untuk menyumbang secara optimum kepada pembangunan negara."Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) 2025 menunjukkan kadar penyertaan tenaga buruh wanita berada pada tahap 56.5 peratus, jauh lebih rendah berbanding lelaki iaitu 83 peratus."Statistik Siswazah 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pula melaporkan bahawa secara purata siswazah wanita memperoleh pendapatan RM900 lebih rendah berbanding siswazah lelaki walaupun memiliki kelayakan akademik yang setara," katanya dalam kenyataan pada Ahad.Tambah Azril, penglibatan wanita secara lebih meluas bukan lagi satu pilihan tetapi satu keperluan strategik dalam era transformasi digital serta peralihan kepada ekonomi hijau dan ekonomi masa depan."Kajian menunjukkan bahawa peningkatan kadar penyertaan wanita dalam pasaran tenaga kerja berpotensi meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia antara tujuh hingga 12 peratus."Selain itu, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) milik wanita turut menunjukkan tahap daya tahan yang tinggi, khususnya dalam sektor perkhidmatan dan ekonomi digital."Peranan ini bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, malah membantu meningkatkan pendapatan isi rumah serta mengurangkan kadar kemiskinan," katanya lagi.Dari aspek kepimpinan dan tadbir urus, beliau berkata, jurang penyertaan wanita menunjukkan angka ketara apabila hanya sekitar 13.5 peratus ahli Parlimen Malaysia terdiri daripada wanita, manakala kurang daripada 20 peratus jawatan menteri dipegang oleh wanita."Keadaan ini secara tidak langsung mengehadkan peluang wanita untuk terlibat secara bermakna dalam proses penggubalan dasar serta dalam menentukan hala tuju negara."Begitu juga dalam sektor pentadbiran dan kepimpinan organisasi yang mana wanita hanya merangkumi sekitar 27.1 peratus daripada penggubal undang-undang, pegawai kanan dan pengurus," ujarnya.Azril berkata, jurang itu bukan sahaja menjejaskan keseimbangan representasi dalam sistem demokrasi, malah berisiko mengabaikan perspektif serta keperluan separuh daripada populasi negara dalam agenda pembangunan nasional.Beliau menggesa semua pihak termasuk penggubal dasar dan organisasi masyarakat sivil untuk memperkukuh komitmen dalam memperkasa wanita sejajar dengan tema Hari Wanita Antarabangsa 2026."Usaha ini memerlukan pembaharuan dasar dan kerangka perundangan yang lebih progresif bagi memastikan hak dan maruah wanita terus terpelihara serta mengekang sebarang bentuk eksploitasi dan diskriminasi yang menjejaskan potensi mereka."Pada masa yang sama, ruang perlu terus diperluas untuk mengangkat suara, pemikiran dan kepimpinan wanita dalam proses membuat keputusan di semua peringkat."Pelaburan yang lebih besar juga perlu diberikan dalam bidang pendidikan, penjagaan kesihatan serta pemerkasaan ekonomi wanita sebagai asas kepada pembangunan negara yang lebih seimbang dan berdaya tahan," katanya.Tambah Azril, pihaknya percaya apabila wanita diberikan peluang, sokongan dan akses yang adil, golongan itu bukan sahaja mampu memperkukuh ekonomi negara, malah menyumbang kepada pembinaan masyarakat yang lebih sejahtera, berintegriti dan berperikemanusiaan.