Kedudukan Muhyiddin punca Bersatu terima sumbangan jutaan ringgit - Pendakwaan

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin bahawa wang jutaan ringgit diakui tiada dalam poket bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.Bagaimanapun, pasukan pendakwaan memberitahu, wang berkenaan dimasukkan ke akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang merupakan sekutu Presiden Bersatu itu.Katanya, parti itu mempunyai kepentingan secara tidak langsung dalam projek Jana Wibawa.Semasa membaca kenyataan pembukaannya, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, pendakwaan akan membuktikan bahawa parti itu memperoleh sumbangan wang menerusi Presidennya, Muhyiddin yang ketika itu Perdana Menteri.Katanya, pasukan pendakwaan akan membuktikan Menteri Kewangan ketika itu bertindak atas minit mesyuarat yang dikeluarkan oleh Muhyiddin."Menteri Kewangan dan sekutunya UMNO, tidak mendapat sebarang keuntungan daripada pelaksanaan minit berkenaan."Kami akan membuktikan jika bukan disebabkan tertuduh selaku Presiden parti dan Perdana Menteri, Bersatu tidak akan mendapat sumbangan jutaan wang,'' katanya.Wan Shaharuddin berkata, pihak pendakwaan akan membuktikan kes melalui keterangan secara langsung dan keadaan dengan memanggil seramai 30 saksi.Menurutnya, dalam membuktikan kesalahan di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pendakwaan bergantung kepada anggapan undang-undang di bawah Seksyen 23 (2) akta sama.Beliau berkata, Mahkamah Rayuan sebelum ini memutuskan bahawa Bersatu merupakan organisasi dan pertuduhan di bawah Seksyen 23 (1) akta itu, tiada sebarang kecacatan.Selain Wan Shaharuddin, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib, Noralis Mat, Mahadi Abdul Jumaat, Wan Nur Imam Wan Ahmad Afzal, Alis Izzati Azurin Mohd Rusdi dan Pegawai Pendakwa, Mohamad Safari Abdullah.Muhyiddin pula diwakili peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Amer Hamzah Arshad, Chetan Jethwani, Low Wei Loke, Kee Wei Loon, Siti Sumaiyahh Ahmad Jaafar, Lee Yee Wei dan Tang Jia Yearn.Prosiding di hadapan Hakim, Noor Ruwena Md Nurdin kemudiannya diteruskan dengan Hisyam membacakan pernyataan pembelaan.Pada 10 Mac 2023, Muhyiddin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM225.3 juta bagi parti Bersatu berkaitan projek Jana Wibawa dan dua pengubahan wang haram (AMLA) sebanyak RM195 juta, antara tahun 2020 hingga 2022.Ekoran kes itu, Muhyiddin menjadi bekas Perdana Menteri kedua selepas Datuk Seri Najib Tun Razak, dituduh atas pertuduhan mengikut seksyen sama di mahkamah.Tiga hari kemudian, pada 13 Mac, Muhyiddin didakwa atas satu lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam selaku Presiden parti, menerima hasil AMLA iaitu wang RM5 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank, milik parti itu.Bagaimanapun, pada 15 Ogos tahun sama, Mahkamah Tinggi melepaskan dan membebaskan Muhyiddin daripada empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukan selepas membenarkan permohonannya untuk membatalkan pertuduhan berkenaan.Bagaimanapun, pihak pendakwaan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Rayuan pada hari yang sama.Pada 28 Februari 2024, Mahkamah Rayuan di Putrajaya mengarahkan empat pertuduhan rasuah itu dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk tindakan lanjut.Pada 16 Jun 2025, ahli politik itu berjaya dalam permohonannya untuk memindahkan semua kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi.