Lelaki maut, dua kanak-kanak cedera kereta terbakar langgar jentera berat

KLUANG - Seorang lelaki maut manakala dua kanak-kanak cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah jentera berat jenis JCB sebelum terbakar dalam kejadian di Jalan Kota Tinggi–Kluang berhampiran Ladang Tabung Haji, awal pagi Isnin.Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II ( PBKII) Juazman Miskon berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.37 tengah malam sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam digerakkan ke lokasi kejadian.Menurutnya, sepasukan 11 anggota bersama dua jentera termasuk bantuan dari BBP Bandar Tenggara tiba di lokasi kira-kira jam 12.58 tengah malam."Setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati sebuah kereta Toyota Vios terbakar kira-kira 80 peratus akibat kemalangan dengan sebuah jentera berat JCB."Pemandu kereta, lelaki berusia 37 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan.Beliau berkata, dua penumpang kereta berkenaan iaitu kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dan kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun mengalami kecederaan sebelum dihantar ke hospital menggunakan kenderaan awam.Menurutnya, pemandu jentera JCB berusia 29 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan."Kesemua mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum kereta itu terbakar."Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu dengan sumber air daripada jentera," katanya.Katanya, operasi berjaya dikawal pada jam 1.20 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.46 pagi selepas pemeriksaan dilakukan bagi memastikan tiada mangsa lain terlibat.Jelasnya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.