SEPANG - Dua pengembara warga asing ditahan secara berasingan disyaki cuba menyeludup wang tunai dalam amaun besar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) KLIA, Zulkifli Muhammad berkata, kes pertama melibatkan penahanan seorang warga Bangladesh di Balai Ketibaan Antarabangsa KLIA Terminal 1 oleh pasukan operasi Cawangan Pemeriksaan Penumpang 1 (CPP 1) dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Terminal 1 pada 6 Februari.Menurutnya, pengembara itu telah gagal membuat pengikraran di dalam Borang Kastam 7 ke atas amaun tunai yang hendak dibawa masuk ke Malaysia, dan melanggar Peraturan 55(1)(b) Peraturan Kastam 2019 di mana mengkehendaki pengembara yang ingin membawa masuk amaun tunai dan instrumen boleh niaga bersamaan atau melebihi AS$10,000 (RM39,665) ke Malaysia dikehendaki mengikrarkannya."Pemeriksaan ke atas satu bagasi milik pengembara telah mendapati mata wang asing 1,618 royal Arab Saudi (RM1,709), 157,400 euro (RM720,703) dan 5,000 pound (RM26,385) telah disembunyikan di dalam bagasi miliknya."Dianggarkan nilai sitaan mata wang pelbagai not ini berjumlah RM2.41 juta," katanya dalam kenyataan pada Isnin.Tambahnya, lelaki itu membawa masuk mata wang asing itu dengan cara menyembunyikan di dalam kad pelapik lipatan kameja.Dalam kes berasingan pada 10 Februari, pasukan operasi CPP 2 dan AKPS Terminal 2 turut menahan seorang pengembara warga Indonesia di Balai Pelepasan Antarabangsa KLIA Terminal 2 kerana disyaki cuba membawa keluar mata wang Ringgit Malaysia tanpa pengisytiharan dan kelulusan daripada Bank Negara Malaysia.Kata Zulkifli, pengembara tersebut tidak membuat pengikraran ke atas amaun tunai yang hendak dibawa keluar dari Malaysia dan melanggar Peraturan 55(1)(b) Peraturan Kastam 2019."Pemeriksaan bagasi milik pengembara tersebut menemukan mata wang Ringgit Malaysia bernilai RM120,100 yang disembunyikan," ujarnya.Jelasnya, kedua-dua kes itu disiasat di bawah Seksyen 28B Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001.Tambahnya, JKDM juga menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri."Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan," ujarnya.