Wanita cemas betis luka, kain berlubang terkena mercun selepas berbuka di Jambatan Angkat

​KUALA TERENGGANU – Niat seorang wanita mahu merasai suasana berbuka puasa berhampiran Jambatan Angkat (Drawbridge) di sini bertukar detik cemas apabila kain yang dipakainya terkena percikan mercun sehingga berlubang. ​Mangsa, Hazwani Abdullah, 37, berkata, kejadian berlaku ketika dia bersama empat anaknya yang berusia antara empat hingga 14 tahun sedang bersantai di kawasan parkir selepas selesai berbuka puasa baru-baru ini.​Dia yang juga peniaga makanan berkata, mereka pertama kali berbuka di kawasan itu atas permintaan anak-anaknya yang teruja mahu melihat kemeriahan pesta bunga api seperti ditularkan di media sosial.​"Anak-anak ajak berbuka di situ sebab nak rasa suasana iftar di kawasan Jambatan Angkat. Kalau tengok di media sosial, memang meriah dengan bunga api lepas berbuka.​"Tapi, keadaan bertukar cemas apabila tiba-tiba percikan mercun terkena pada bahagian kaki saya," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.​Hazwani yang tinggal di Panji Alam, di sini berkata, insiden itu bukan sahaja menyebabkan kainnya berlubang, malah betisnya turut mengalami luka kecil dan rasa pedih.​"Walaupun luka tidak teruk, betis saya masih pedih sampai sekarang. Kejadian ini benar-benar meninggalkan trauma sehingga saya serik untuk berbuka di kawasan terbuka yang sesak dengan orang ramai lagi.​"Ini mungkin kali pertama dan terakhir saya ke sana. Orang terlalu ramai dan bunyi mercun hampir tak berhenti," ujarnya yang berharap pihak berkuasa memberi perhatian serius agar kejadian lebih buruk tidak menimpa orang lain, lebih-lebih lagi kanak-kanak.​Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor menegaskan, tindakan tegas boleh diambil terhadap mana-mana individu yang bermain mercun sehingga menyebabkan gangguan atau bahaya kepada orang awam.​Menurutnya, pesalah boleh disiasat mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan atas kesalahan gangguan awam serta Seksyen 285 kanun sama bagi perbuatan cuai berkaitan bahan api.​"Kesalahan bermain atau memiliki mercun tanpa lesen juga boleh disiasat mengikut Seksyen 8 dan Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957.​"Pihak polis sentiasa melakukan rondaan dan pemantauan bagi memastikan aktiviti pembakaran mercun tidak dilakukan sewenang-wenangnya. Hebahan melalui kereta peronda (MPV) juga akan dipertingkatkan sebagai peringatan kepada orang ramai," katanya.