KOTA BHARU – Gagasan Rumah Bangsa yang diperkenalkan UMNO dilihat sebagai satu kematangan politik negara yang boleh menjadi medan musyawarah dalam membincangkan isu-isu berkaitan Melayu.Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nabil Halimi berkata, pendekatan itu merupakan satu usaha mencari titik pertemuan antara parti-parti politik yang mewakili orang Melayu untuk berbincang secara matang mengenai isu nasional.Menurutnya, landskap politik negara kini memperlihatkan keperluan untuk semua pihak duduk semeja bagi mengukuhkan perpaduan demi kepentingan rakyat tanpa mengira perbezaan parti."Saya fikir ini satu transisi kematangan dan ada keperluan untuk kita duduk bersama, berbincang soal perpaduan dan juga isu-isu yang melibatkan orang Melayu."Walaupun Malaysia sebuah negara berbilang kaum, kita tidak boleh menolak ke tepi isu-isu yang melibatkan masyarakat Melayu termasuk golongan miskin Melayu yang masih memerlukan perhatian," katanya.Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Moreh dan Bicara Santai anjuran Pertubuhan Prihatin Suara Anak Kelantan bersama Anak Seni Kelantan di Chempaka, di sini pada Jumaat.Mengulas lanjut, Nabil berkata, gagasan tersebut bukanlah jajaran politik baharu, sebaliknya lebih kepada satu inisiatif yang boleh dimanfaatkan."Selari dengan semangat kerjasama yang terjalin dalam kerajaan perpaduan ketika ini yang menyaksikan parti-parti dengan latar belakang berbeza."Kita sendiri tidak pernah sangka Parti Keadilan Rakyat dan UMNO boleh duduk bersama dalam kerajaan, tetapi fasa kematangan itu berlaku," katanya.Pada masa sama, beliau menegaskan isu perkauman tidak seharusnya terus dipolitikkan kerana tindakan sedemikian hanya akan menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.Sebaliknya, kata beliau, perhatian sewajarnya perlu diberikan kepada usaha menangani isu-isu sebenar yang dihadapi rakyat termasuk kemiskinan dan kebajikan golongan memerlukan seperti asnaf."Paling utama ialah memastikan lebih ramai yang berada dalam keadaan susah dapat dibantu," katanya.