500 ahli Bersatu Perak umum keluar parti

MANJUNG - Gelombang keluar parti terus melanda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) apabila 500 ahli di beberapa bahagian di Perak mengumumkan meninggalkan parti itu pada Jumaat.Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, pengumuman itu dibuat secara beramai-ramai dengan sebahagian besar melibatkan ahli di Bahagian Lumut.Menurutnya, majoriti yang mengumumkan keluar parti itu merupakan kumpulan teras yang sebelum ini aktif menggerakkan parti di peringkat akar umbi."Sebelum ini kita telah mengenal pasti kira-kira 300 ahli Bahagian Lumut bersetuju meninggalkan Bersatu, dengan pengumpulan tandatangan dilakukan sejak awal Mac."Kalau ikut jumlah keahlian, Lumut ada lebih 2,000 ahli. Tetapi dalam parti politik biasanya hanya sekitar 10 hingga 30 peratus yang benar-benar aktif. Yang kita bawa hari ini adalah kumpulan teras yang dahulu menggerakkan parti di peringkat bahagian," katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Program Reset Perak di Dewan Komuniti Fasa 2C, Seri Manjung, di sini pada Jumaat.Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik itu menegaskan bahawa tindakan keluar parti bukan hasil paksaan atau usaha mempengaruhi ahli lain, sebaliknya keputusan sukarela daripada mereka sendiri.Pada masa sama, beliau memaklumkan bahawa Sekretariat Reset Perak kini telah membentuk struktur organisasi di 18 daripada 24 bahagian di negeri itu sebagai persediaan menghadapi perkembangan politik seterusnya.Katanya, struktur tersebut melibatkan kepimpinan di semua peringkat termasuk sayap wanita dan pemuda yang disusun oleh bekas pemimpin bahagian Bersatu."Daripada 24 bahagian di Perak, kita sudah ada struktur di 18 bahagian dan mereka bersedia apabila ‘rumah baharu’ yang diumumkan nanti sudah siap," katanya.Mengulas lanjut, Zainol Fadzi berkata, perkembangan itu menunjukkan sokongan di peringkat akar umbi semakin berubah dan tidak lagi bergantung kepada kedudukan kepimpinan semata-mata.