Impian Gigih Biasiswa GXBank gilap potensi pelajar

KUALA LUMPUR – Biasiswa bukan sekadar bantuan kewangan, sebaliknya menjadi pemangkin kepada pelajar untuk terus fokus dalam pengajian dan membina masa depan yang lebih cerah.Penerima Impian Gigih Biasiswa GXBank, Nur Amira Adani Azizol, 20, berkata, bantuan tersebut banyak mengurangkan beban kewangan sepanjang pengajiannya setakat ini.Pelajar Sarjana Muda Kewangan dari Universiti Malaya itu berkata, sebelum ini dia terpaksa bekerja sambil belajar bagi menampung keperluan pengajian."Dengan biasiswa ini, ia sangat membantu dari segi kewangan seperti membeli buku dan keperluan pembelajaran lain."Tanpa biasiswa ini, saya terpaksa bekerja sambil belajar bagi menampung perbelanjaan memandangkan ayah saya yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu e-hailing tidak lagi mampu bekerja atas faktor kesihatan," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada program Iftar Rewang Pelajar GXBank di Universiti Malaya pada Khamis.Menurutnya, biasiswa tersebut bukan sahaja membantu dari sudut kewangan, malah turut menyediakan peluang mempersiap diri untuk kerjayanya melalui program bimbingan dan kepimpinan.Jelasnya, setiap penerima biasiswa juga dipadankan dengan mentor daripada GXBank yang mempunyai latar belakang dalam bidang berkaitan."Sebagai pelajar kewangan, saya dibimbing oleh mentor dari barisan kepimpinan bank tersebut yang berpengalaman luas dalam bidang kewangan."Ini memudahkan saya mendapatkan panduan berkaitan kemahiran yang diperlukan dalam dunia pekerjaan nanti," katanya.Nur Amira berkata, peluang bimbingan itu penting terutama apabila memasuki semester seterusnya yang memerlukan pemahaman lebih mendalam dalam bidang pengajian.Pada masa sama, dia berharap dapat membantu pelajar lain yang berdepan cabaran kewangan untuk melanjutkan pengajian pada masa hadapan.Seorang lagi penerima biasiswa, Kan Penny, 21, berkata, bantuan tersebut membolehkannya memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran tanpa perlu terlalu memikirkan soal kewangan.Pelajar Sarjana Muda Sains Komputer dari Universiti Malaya itu berkata, biasiswa tersebut turut membuka peluang kepada penerima untuk menyertai pelbagai program pembangunan diri."Ramai beranggapan biasiswa hanya membantu dari segi bayaran yuran pengajian tetapi sebenarnya ia juga memberi peluang untuk perkembangan diri."Sebagai contoh, saya berpeluang menyertai program kepimpinan yang menghimpunkan pelajar dari pelbagai universiti untuk meningkatkan kemahiran komunikasi dan kerja berpasukan," katanya.Sokongan menyeluruh kepada penerima biasiswaPembangunan kemahiran secara menyeluruh ini merupakan salah satu teras kepada misi GXBank untuk mengasah bakat tempatan. Melalui program kepimpinan dan bimbingan industri bank tersebut mahu melahirkan bakal pemimpin masa depan yang berdaya tahan.Ketua Sumber Manusia GXBank, Christina Chan turut berkata, pendidikan merupakan jambatan penting dalam membina masa depan yang lebih cerah kepada generasi muda.Menurutnya, Impian Gigih Biasiswa GXBank diperkenalkan untuk membantu anak muda di Malaysia yang kurang berkemampuan mendapatkan akses pendidikan tinggi tanpa dibelenggu kekangan kewangan."Apabila isu kewangan dapat ditangani, pelajar boleh memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengajian dan pembangunan diri."Melalui biasiswa ini juga, kami berharap penerima dapat menjadi individu yang berdaya tahan serta menyumbang kepada masyarakat pada masa hadapan," katanya.Program Biasiswa Impian Gigih GXBank menawarkan sokongan komprehensif kepada penerima termasuk pembiayaan penuh yuran pengajian dan peluang memperkasa diri seperti program pendedahan antarabangsa serta latihan praktikal bersama GXBank.Sejak diperkenalkan pada 2024, seramai 18 pelajar telah menerima manfaat daripada program biasiswa tersebut.Terdahulu Program Iftar Rewang Pelajar GXBank merupakan antara tajaan yang menyokong penganjuran Majlis Iftar Perdana Universiti Malaya pada tahun ini.Program ini memberi peluang unik kepada pelajar untuk merasai sendiri pengalaman 'rewang' moden melalui penyediaan piza, sekaligus memupuk semangat kerjasama dan silaturahim di antara penerima biasiswa tersebut dan warga kampus.Sementara itu, Pengarah Pusat Pengurusan Organisasi & Governan, Portfolio Pendaftar merangkap pengarah majlis berkenaan, Rumiza Ahmad merakamkan penghargaan kepada GXBank dan Sinar Harian yang menyokong dalam menjayakan program berkenaan.Rumiza berkata, kerjasama dengan pihak korporat penting untuk memastikan lebih banyak inisiatif kebajikan dapat dilaksanakan pada masa akan datang."Saya berharap program seperti ini dapat diteruskan setiap tahun supaya lebih ramai warga kampus serta masyarakat luar dapat turut sama merasai manfaatnya," katanya.