PETALING JAYA - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mengadakan pemilihan parti buat kali pertama bagi sesi 2026/2029 menerusi Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) 2025 pada Sabtu.Pemilihan yang bertempat di Bangunan Peladang, di sini dimulakan dengan ucapan dasar dan perasmian oleh Pemangku Presiden Muda, Amira Aisya Abd Aziz pada jam 9 pagi, disusuli sidang media serta sesi bergambar pada jam 11 pagi.Keputusan pemilihan parti dijangka diumumkan kira-kira jam 4.45 petang ini, diikuti sidang media serta sesi bergambar kepimpinan Muda yang baharu bagi sesi 2026/2029.Sebelum pemilihan dijalankan, parti itu bakal membentangkan laporan tahunan serta ucapan daripada perwakilan Muda setiap negeri.Antara pemimpin yang hadir ialah Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), S. Arutchelvan dan Pengerusi PSM Perak, Bawani KS.Bekas Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut dilihat hadir sebagai tanda sokongan terhadap kepimpinan baharu yang bakal dipilih hari ini.Ahli Parlimen Muar itu pada 2 Mac lalu mengesahkan tidak akan bertanding dalam pemilihan sulung Muda susulan kes mahkamah yang dihadapinya masih berjalan.Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, alasan utama yang menghalangnya bertanding adalah kerana ikrarnya untuk membersihkan nama daripada tuduhan penyelewengan terlebih dahulu.