KOTA TINGGI –Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dengan kerjasama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tenggara menyalurkan sumbangan kepada komuniti setempat sempena Program Kemakmuran Pekebun Kecil dan Iftar Ramadan Parlimen Tenggara di Masjid Darun Nadwah, Felda Penggeli Timur, di sini pada Ahad.Program tersebut disempurnakan Pengerusi RISDA merangkap Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib.Penganjuran program tersebut merupakan manifestasi komitmen kerajaan menerusi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan RISDA dalam menyantuni warga desa bersempena kemuliaan bulan Ramadan.Peranan aktif RISDA dalam memacu kesejahteraan komuniti luar bandar khususnya para pekebun kecil getah turut diketengahkan melalui program berkenaan.Program ini juga menjadi platform penting untuk mengeratkan ukhuwah antara agensi kerajaan, jawatankuasa masjid dan penduduk setempat.Sebelum ini, program turut diisi dengan aktiviti ziarah kasih bagi menyantuni warga setempat termasuk golongan pekebun kecil serta pesara RISDA di kawasan berkenaan.Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Panti, Hahasrin Ishak; Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) RISDA, Md Najip Ishak dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) RISDA, Wan Mohd Hafiz Wan Ibrahim.Dalam majlis sama, sumbangan kepada golongan memerlukan turut diagihkan bagi menyemarakkan sambutan Aidilfitri yang bakal tiba.Sebanyak RM51,300 telah disalurkan kepada pelbagai pihak bagi tujuan pemerkasaan komuniti, manakala tambahan RM15,000 lagi diserahkan secara terus kepada 125 penerima yang layak.Dalam majlis tersebut, satu lagi detik bermakna tercipta apabila Manndzri turut menyempurnakan perasmian Dataran Saidina Uthman yang terletak di pekarangan masjid berkenaan.Dataran bernilai RM100,000 yang siap dibina pada tahun 2025 itu kini berfungsi sebagai pusat interaksi komuniti bagi penganjuran pelbagai aktiviti kemasyarakatan.Dalam ucapannya, Manndzri menyatakan komitmen untuk terus mengangkat taraf hidup komuniti di kawasan tersebut."Mewakili kawasan ini, jiwa saya sentiasa dekat dengan denyut nadi masyarakat."Setiap langkah di sini bukan sekadar perjalanan jasad, tetapi juga perjalanan hati untuk terus menyemai budi di tanah sendiri," ujarnya lagi.Beliau turut menyentuh mengenai cabaran ekonomi semasa dan menyatakan keyakinan terhadap iltizam Kerajaan Madani dalam memperjuangkan kesejahteraan rakyat."Usaha itu dizahirkan melalui pengawalan harga barangan keperluan asas serta penerusan pelbagai inisiatif seperti Sumbangan Asas Rahmah dan sebagainya demi meringankan beban kos sara hidup," ujarnya.RISDA menegaskan komitmennya untuk terus memperluas inisiatif pembangunan desa sekali gus memastikan kesejahteraan sosioekonomi warga pekebun kecil getah sentiasa terpelihara.