PRU16: UMNO Kelantan kenal pasti senarai awal calon

KOTA BHARU – UMNO Kelantan menyusun langkah awal menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dengan mengenal pasti senarai calon berpotensi yang akan dipertimbangkan untuk bertanding.Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub berkata, senarai berkenaan masih di peringkat simpanan dan boleh berubah dari semasa ke semasa bergantung kepada penilaian serta perkembangan semasa.Menurutnya, proses pemilihan calon dibuat dengan meneliti pelbagai pandangan termasuk daripada pimpinan bahagian, pihak lain serta kajian yang dijalankan oleh pihak bebas."Setakat ini saya sudah ada senarai calon, mungkin berubah-ubah tetapi sekurang-kurangnya kita sudah bersedia."Saya meneliti dan mengambil kira pandangan bahagian, selain kajian oleh pihak bebas bagi melihat siapa yang layak serta berketerampilan, namun kuasa pemutus akhirnya adalah presiden parti," katanya.Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Moreh Ramadan bersama Pengamal Media negeri Kelantan di Pejabat UMNO di sini pada Ahad.Ahmad Jazlan berkata, langkah menyediakan senarai awal calon penting supaya UMNO Kelantan lebih bersedia sekiranya berlaku pilihan raya secara mengejut.Dalam pada itu, beliau sebelumnya mengakui, parti berkenaan masih belum mendapat tempat sepenuhnya di hati rakyat Kelantan untuk mengambil alih pentadbiran negeri setakat ini.Bagaimanapun katanya, UMNO tetap mahu memastikan parti itu mempunyai wakil rakyat yang mencukupi bagi memainkan peranan semak dan imbang terhadap kerajaan negeri."Kami berpijak di bumi nyata, terus terang saya katakan, setakat hari ini UMNO masih belum mendapat tempat di hati rakyat untuk mengambil alih negeri Kelantan."Tetapi dalam sebuah negeri tidak boleh ada kuasa mutlak, perlu ada semak dan imbang. Kalau rakyat belum bersedia beri mandat memerintah, sekurang-kurangnya beri kerusi yang cukup untuk kita menegur kelemahan kerajaan," katanya.Menurutnya, senarai calon yang dikenal pasti setakat ini merangkumi gabungan muka lama dan muka baharu termasuk golongan muda serta wanita daripada pelbagai latar belakang."Kami menilai sejauh mana mereka bekerja, komitmen mereka kepada rakyat kerana bertanding itu satu perkaranya, tetapi menang dan melaksanakan tanggungjawab adalah perkara yang jauh lebih besar," katanya.