Pasangan kekasih dirompak, dipukul rakan baik sendiri

KUALA LUMPUR - Niat baik sepasang kekasih membantu seorang rakan lelaki yang berada dalam kesusahan bertukar tragedi apabila individu berkenaan dipercayai membawa beberapa orang lain untuk merompak kediaman mereka di Kepong sebelum melarikan sebuah kereta.Dalam kejadian itu, suspek yang bersenjatakan parang dan alat renjatan elektrik turut memukul pasangan terbabit sehingga mengalami kecederaan.Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Basri Sagoni berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 12.10 tengah malam.Beliau berkata, mangsa memaklumkan mereka didatangi empat lelaki dan seorang wanita di bilik sewa mereka di Bandar Manjalara, Kepong dan salah seorang suspek dikenalinya."Suspek masuk ke dalam rumah sebelum berlaku pertengkaran mulut. Ketika melarikan diri, mereka mengambil kunci kereta Honda City, tiga telefon bimbit serta beberapa dokumen peribadi," katanya.Menurutnya, susulan siasatan lanjut, polis menahan dua lelaki di sebuah hotel di Cheras pada jam 3.30 pagi bagi membantu siasatan dan merampas beberapa barangan berkaitan kes.Permohonan reman terhadap kedua-dua suspek telah dibenarkan selama enam hari sehingga 20 Mac ini.Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.