BUKIT MERTAJAM - Reman dua pekerja sebuah taska disambung tujuh hari lagi bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang bayi lelaki berusia empat bulan di sebuah taska 24 jam di kawasan Hospital Seberang Jaya pada Isnin minggu lalu.Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, permohonan sambung reman tersebut dibuat di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini pada pagi Isnin."Reman disambung tujuh hari lagi bermula hari ini untuk polis melengkapkan kertas siasatan berhubung kes kematian seorang bayi lelaki pada 9 Mac lalu," katanya ketika dihubungi pada Isnin.Sebelum ini, dua wanita berusia 31 tahun itu direman tujuh hari bermula 10 Mac lalu untuk membantu siasatan berhubung kes berkenaan.Sebelum ini, media melaporkan, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail mengesahkan polis telah membuka kertas siasatan mengikut kes bunuh susulan kematian bayi lelaki tersebut.Mangsa, Hayl Haarith Mohd Syafaeez ditemukan tidak sedarkan diri di taska 24 jam yang terletak dalam kawasan Hospital Seberang Jaya pada awal pagi Isnin.Bayi itu kemudian dikejarkan ke jabatan kecemasan hospital berkenaan kira-kira jam 4 pagi selepas ibunya, Ummu Habibah Wahab, 30 yang juga jururawat bertugas syif malam menerima panggilan memaklumkan wajah anaknya bertukar kebiruan.Pasukan perubatan dilaporkan menjalankan prosedur resusitasi kardiopulmonari selama kira-kira sejam bagi menyelamatkan mangsa namun bayi tersebut gagal diselamatkan.Difahamkan, bayi berkenaan baru sahaja dihantar ke taska itu selepas ibunya kembali bertugas selepas tamat tempoh berpantang.Sementara itu, Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim mengesahkan dua pekerja itu didapati belum mengikuti Kursus Asuhan Permata (KAP) seperti yang diwajibkan.Beliau berkata, kedua-dua wanita berkenaan merupakan antara pengasuh yang bertugas di taska terbabit ketika kejadian dilaporkan pada 9 Mac lalu.Bagaimanapun menurutnya, hasil semakan mendapati pusat jagaan tersebut beroperasi secara sah dan mematuhi syarat pendaftaran termasuk sistem National Integrated System of Childcare (NISPA).