MELAKA - Seorang lelaki gagal mengawal kemarahan selepas mengetahui isterinya ditangkap khalwat dengan lelaki lain dalam sebuah rumah di Krubong sekitar jam 10 pagi Ahad.Menerusi video berdurasi satu minit yang dikongsi di media sosial penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), kekecohan berlaku antara pasangan suami isteri itu ketika serbuan dijalankan di lokasi kejadian."Aku tak tumbuk kau dah baik tau, lagi kau nak ‘langsi’ dengan aku," kata suami berkenaan kepada isterinya.Terdahulu, menerusi hantaran itu, wanita tersebut bersama kekasihnya ditangkap khalwat di rumah berkenaan pada siang hari oleh imam.Hantaran itu menjelaskan, perkongsian video itu bukan untuk mengaibkan, tetapi bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat sebagai kempen ‘Amal Makruf Nahi Munkar’.Video sama turut memaparkan penguat kuasa JAIM cuba mengawal keadaan dengan meleraikan pertelingkahan tersebut.Wanita itu dan kekasihnya kemudian dibawa ke pejabat JAIM untuk tindakan selanjutnya.Pegawai penguat kuasa yang berada di lokasi menerangkan kesalahan yang dilakukan pasangan itu yang ditahan di bawah Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekediaman atau berkhalwat yang mendatangkan syak.Jika sabit kesalahan, pasangan itu boleh didenda maksimum RM3,000 atau dipenjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.