KUALA LUMPUR – Orang ramai diingatkan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung siasatan terhadap pendakwah bebas, Zamri Vinoth yang dijangka didakwa di Mahkamah Majistret di sini.Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, maklumat yang tersebar berkaitan kes itu tidak semestinya tepat dan orang ramai diminta menunggu kenyataan rasmi pihak polis.Menurutnya, siasatan berhubung kes tersebut masih berjalan."Maklumat yang tular tidak betul. Tolong jangan buat spekulasi dan harap bersabar menunggu maklumat rasmi daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), siasatan masih dijalankan," katanya ringkas pada Isnin.Sebelum ini, tular satu mesej di aplikasi WhatsApp mendakwa Zamri akan didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada jam 8.30 pagi Isnin.Mesej berkenaan turut menggesa penyokongnya berkumpul di mahkamah, namun butiran lanjut mengenai pertuduhan yang bakal dihadapi masih belum diperoleh.Zamri sebelum ini disiasat susulan kenyataan didakwa berbaur perkauman yang menyentuh komuniti India selain kenyataan berkaitan perhimpunan pada 7 Februari lalu berhubung isu kuil tanpa kebenaran.Terdahulu, peguamnya, Haniff Khatri Abdulla sebelum ini memaklumkan anak guamnya mungkin akan didakwa pada Isnin, namun beliau masih belum menerima sebarang pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa.Sementara itu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail sebelum ini dilaporkan berkata, polis sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand bagi mengesan dan membawa pulang Zamri serta seorang aktivis, Tamim Dahri Abdul Razak.