Konflik Asia Barat: Tiada pakej rangsangan ekonomi buat masa ini

KUALA LUMPUR - Tiada pakej rangsangan ekonomi akan diperkenalkan buat masa ini susulan konflik di Asia Barat, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.Beliau berkata, pendekatan semasa kerajaan adalah memberi tumpuan kepada langkah jangka pendek untuk memastikan kestabilan ekonomi dan memantau sebarang perkembangan yang boleh memberi impak kepada negara."Saya rasa yang penting kita belum mengetahui sama ada krisis di Timur Tengah akan berlanjutan atau tidak. Kalau ia tidak berlanjutan, saya rasa tiada keperluan untuk melaksanakan sesuatu seperti itu (pakej rangsangan ekonomi)."Buat masa sekarang, pendekatan kita ialah melihat dari segi jangka masa pendek, memastikan kestabilan yang ada," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Hari Penglibatan Dana Pelaburan Bersama Malaysia (MyCIF) di sini hari ini.Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keterjaminan bekalan minyak di Malaysia masih terkawal dan hasil semakan dengan Petronas mendapati bekalan produk petroleum negara mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei ini.Amir Hamzah berkata, kerajaan turut mengambil kira perjalanan rakyat ketika musim perayaan yang lazimnya menyaksikan permintaan lebih tinggi terhadap bahan api.Beliau berkata, syarikat minyak mempunyai pengalaman dalam menguruskan situasi tersebut setiap tahun dengan mengambil langkah proaktif termasuk menambah bekalan dan menempatkan lebih banyak tangki simpanan di kawasan yang mencatatkan penggunaan tinggi bagi memastikan bekalan tidak terputus."Pendekatan kerajaan adalah untuk jangka masa sederhana dan jangka panjang. Kita bekerjasama dengan agensi di bawah kerajaan untuk memastikan bekalan kekal stabil."Petronas dan syarikat minyak serta tenaga lain akan terus melihat untuk menambah stok yang ada bagi menggantikan bekalan yang digunakan dalam negara," katanya.Katanya pada masa ini, pendekatan kerajaan adalah untuk membantu rakyat dan pada masa yang sama, menggesa orang ramai dan syarikat tempatan mengambil pendekatan berwaspada."Jika terdapat cara untuk mengurangkan penggunaan tenaga atau penggunaan barangan lain yang mungkin terkesan dalam situasi ini, ia akan membantu."Kita harus faham, impak ini bukan sahaja terhadap Malaysia malah, di seluruh dunia," katanya.Sebelum ini, Amir Hamzah berkata kerajaan menanggung subsidi bahan api sebanyak RM3.2 bilion sebulan untuk kesejahteraan rakyat.Subsidi kerajaan bagi petrol meningkat kepada RM2 bilion manakala subsidi diesel naik kepada RM1.2 bilion sebulan berbanding RM700 juta sebelum ini.Konflik di Asia Barat bermula pada 28 Februari lepas apabila Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran, yang kemudiannya dibalas Tehran melalui serangan peluru berpandu dan dron terhadap kepentingan AS serta sekutunya di rantau itu.Ketegangan tersebut turut menjejaskan pasaran tenaga global apabila laluan strategik Selat Hormuz yang mengendalikan kira-kira 20 peratus bekalan minyak dunia terjejas susulan ancaman dan tindakan Iran yang menghalang laluan kapal di kawasan itu.Situasi berkenaan menyebabkan harga minyak dunia menjadi tidak menentu berikutan kebimbangan mengenai gangguan terhadap bekalan tenaga global. - Bernama