KUALA LUMPUR – Hanya kerana meminta dibelikan ayam gepuk kerana mengidam, seorang wanita dibelasah suaminya dalam kejadian di sebuah flat di Jalan Ikan Ayu, Cheras di sini, Rabu lalu.Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa yang juga suri rumah mendakwa dimarahi sebelum dipukul oleh suspek.Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 9.03 malam hari sama.Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa berada di rumah sebelum meminta suaminya membelikan makanan berkenaan kerana mengidam."Mangsa mendakwa permintaan tersebut menyebabkan suspek berang sebelum memaki hamun."Suspek kemudian bertindak mencekik leher mangsa serta mengambil sebilah pisau sayur dan meletakkannya di bahagian leher wanita itu," katanya dalam kenyataan pada Isnin.Beliau berkata, suspek turut menampar muka serta menumbuk kepala mangsa dalam kejadian tersebut."Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kanan leher sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras."Mangsa kemudian tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut," katanya.Menurut Mohd Rosdi, pihak polis telah membuka kertas siasatan bagi menyiasat kejadian tersebut.