KUALA LUMPUR – Pendakwaan memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin bahawa, dua jilid dokumen telah diserahkan kepada pihak pembelaan yang mewakili bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Datuk Mohd Razali Alias dan Ketua Staf Markas Angkatan Bersama, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Fauzi Kamis.Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How berkata demikian ketika prosiding di hadapan Hakim, Suzana Hussin.Mohd Razali, 60, menghadapi tiga kes menerima suapan AS$20,000 dan dua tiket penerbangan luar negara pada 2024 dan tahun lalu sementara Mohamed Fauzi, 56, berdepan satu pertuduhan pecah amanah Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) sebanyak RM5 juta, tiga tahun lalu.Semasa prosiding, pendakwaan berkata, terdapat 17 dokumen yang belum diserahkan kepada pembelaan yang mewakili Mohd Razali.Menurutnya, ia merangkumi kontrak, baucar bayaran, sijil pengesahan dan penerimaan perkhidmatan, minit mesyuarat, dokumen penjawatan, perbankan serta dokumen daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)."Senarai saksi dan fakta lain jika ada akan diserahkan kepada mereka pada sebutan akan datang"Sementara bagi kes Mohamed Fauzi, tiga lagi dokumen perlu diserahkan kepada pihak pembelaan," katanya.Mendengar perkara itu, peguam, Datuk Geethan Ram Vincent yang mewakili Mohd Razali dan peguam, Muhammad Anuar Rafi yang hadir bagi pihak Mohamed Fauzi mengesahkan perkara tersebut.Hakim, Suzana Hussin kemudiannya menetapkan sebutan semula kes bagi kedua-dua tertuduh pada 6 Mei depan.Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Razali didakwa menerima suapan wang berjumlah AS$20,000 daripada seorang lelaki berusia 45 tahun.Ia sebagai dorongan bagi meluluskan sijil pengesahan dan penerimaan perkhidmatan pembayaran bagi Perolehan Perkhidmatan Senggaraan dan Perkhidmatan Sokongan Sistem Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC) Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP).Kesalahan didakwa dilakukan di Malaysian Defence Intelligence Organisation (MDIO), Kem Kementah, Jalan Padang Tembak di sini antara Ogos dan November 2024.Dia dituduh mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa ketika menjawat jawatan berkenaan, telah menerima untuk isterinya, Azarina Bakia pembayaran masing-masing RM26,800 dan RM37,800 bagi pembelian tiket penerbangan pergi balik antara Kuala Lumpur dan Malaga, Sepanyol serta Estonia dengan tanpa balasan.Wang berkenaan daripada individu sama yang merupakan seorang pengarah syarikat yang diketahui mempunyai hubungan dengan tugasnya, di lokasi sama pada 15 November 2024 dan 28 April 2025.Dua kes itu dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.Pertuduhan terhadap Mohamed Fauzi pula didakwa ketika menjawat Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan TKAT telah diamanahkan penguasaan ke atas wang berjumlah RM5 juta milik tabung kebajikan itu di akaun sebuah bank.Bapa kepada tiga anak itu dituduh melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta tersebut dengan menyalahgunakannya iaitu membuat pelaburan tambahan dalam sebuah syarikat tanpa mendapat kelulusan Jawatankuasa Pelaburan TKAT.Kesalahan didakwa dilakukan di Kementerian Pertahanan Malaysia, Jalan Padang Tembak, Kementah di sini pada 27 November 2023.Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.