PN gesa sidang khas Parlimen bincang implikasi ART batal

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan memanggil sidang khas Parlimen bagi membincangkan implikasi pembatalan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS).Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, langkah itu penting bagi membolehkan Ahli Parlimen diberikan taklimat penuh serta membahaskan perkembangan tersebut secara terbuka dan bertanggungjawab.Menurutnya, gabungan itu mengambil maklum kenyataan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang mengesahkan perjenjian berkenaan kini terbatal susulan keputusan Mahkamah Agung AS yang menjejaskan asas undang-undang."Perkembangan ini menimbulkan persoalan serius mengenai kedudukan sebenar rundingan dan komitmen yang telah dibuat oleh kerajaan sebelum ini, terutama kesan terhadap industri eksport, sektor pembuatan, rantaian bekalan dan kepastian dasar pelaburan."Dalam keadaan ketidaktentuan perdagangan global yang semakin meningkat, kejelasan dasar dan keyakinan pelabur kepada Malaysia menjadi semakin penting," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.Sebelum ini Johari dilapor memaklumkan, perjanjian ART antara kedua-dua negara kini tidak lagi terpakai susulan keputusan Mahkamah Agung negara itu.Menerusi perjanjian yang ditandatangani pada Oktober lalu, Malaysia sepatutnya dikenakan kadar tarif sebanyak 19 peratus.Dalam pada itu Takiyuddin menegaskan, PN percaya mana-mana perjanjian perdagangan strategik yang mempunyai implikasi besar terhadap dasar perdagangan, ruang dasar negara serta kepentingan ekonomi nasional mesti ditangani dengan ketelusan serta penelitian institusi yang tinggi.Malah susulan pembatalan itu beliau berkata, ia mengesahkan kepentingan pendekatan lebih berhati-hati serta penelitian menyeluruh sebelum negara terikat dengan sebarang komitmen perdagangan antarabangsa.Sehubungan itu ujarnya, kerajaan perlu memberi penjelasan segera dan menyeluruh mengenai status sebenar perjanjian termasuk implikasi ekonomi serta diplomatik kepada Malaysia."Kerajaan juga perlu menjelaskan langkah-langkah yang sedang dan akan diambil bagi melindungi kepentingan negara."Ini termasuk persoalan berkait hala tuju hubungan perdagangan antara Malaysia dengan AS, selain menunaikan hak Parlimen untuk diberitahu tentang apa-apa komitmen yang mungkin dibuat atau konsesi diberikan dalam rundingan sebelum ini."Langkah ini penting bukan sahaja untuk memastikan ketelusan dan akauntabiliti kerajaan, tetapi membolehkan Parlimen memainkan peranan wajarnya dalam memeriksa hala tuju dasar perdagangan negara dan kepentingan jangka panjang ekonomi kita," ujarnya.habis//