SHAH ALAM - Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyerahkan surat rayuan untuk kembali bersama UMNO pada Ahad.Perkembangan itu dikongsikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Facebooknya pada Isnin."Alhamdulillah, dalam keberkatan malam ke-26 Ramadan semalam, saya menerima kunjungan saudara Khairy Jamaluddin yang hadir menyerahkan surat rayuan untuk kembali bersama UMNO."Inilah antara makna sebenar Rumah Bangsa, sebuah ikhtiar untuk menemukan semula yang pernah berpisah, merapatkan kembali yang pernah berjauhan dan menghimpunkan semula kita dalam satu keluarga besar perjuangan," katanya.Ujarnya, secara peribadi beliau telah menerima permohonan tersebut dan akan dipanjangkan kepada Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk diperhalusi dan diperakukan sewajarnya."Dalam perjalanan perjuangan ini seperti yang sering saya sebut - biduk lalu, kiambang bertaut, yang lebih utama ialah mencari jalan penyatuan, bukan membiarkan perpecahan terus memisahkan kita."Mudah-mudahan Rumah Bangsa menjadi asas untuk kita mempertemukan semula hati-hati yang pernah terpisah, memperkukuh saf perjuangan dan mengembalikan kekuatan UMNO sebagai induk politik orang Melayu dan umat Islam di tanah air ini," katanya.