Dakwaan Bersatu mahu rapat dengan PKR hanya 'psywar' - Marzuki

SHAH ALAM - Dakwaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mahu mewujudkan hubungan lebih rapat dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) merupakan satu bentuk 'psywar' yang bertujuan memecah-belahkan parti itu serta merenggangkan hubungan dalam Perikatan Nasional (PN).Bekas Ketua Setiausaha Sulit Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad berkata, Datuk Seri Hamzah Zainudin sedang menjalankan perang psikologi dari luar untuk menggugat kekuatan parti yang didakwanya sedang dibina semula."Bersatu telah kembali aman dengan ketiadaan kumpulan yang memecah-belahkan parti, sedang membina semula perpaduan dan kekuatan parti."Saya hadir banyak majlis Bersatu sejak dua tiga minggu ini dan bertemu ramai ahli dan pimpinan akar umbi. Respon yang saya terima amat positif. Mereka kembali bersemangat dan teruja untuk memperkukuhkan parti," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.Sebelum ini Hamzah yang juga Ketua Pembangkang mendakwa hala tuju Bersatu ketika ini menimbulkan persoalan apabila banyak jawatankuasa penaja bahagian parti itu didakwa melibatkan individu yang mempunyai kaitan dengan PKR.Ahli Parlimen Larut itu berkata, perkara tersebut dimaklumkan oleh rakan-rakan parti tersebut di seluruh negara yang melihat perkembangan tersebut berlaku selepas pembubaran beberapa bahagian Bersatu sebelum ini.Dalam pada itu Marzuki menegaskan, perancangan gerak kerja parti sebelum ini agak sukar dilakukan kerana sering berdepan gangguan dalaman, namun keadaan kini lebih mudah apabila ahli dan pimpinan dilihat kembali bersepakat.Ujarnya, ramai rakan lama yang sebelum ini menjauhkan diri daripada parti juga mula kembali menyertai perjuangan dalam Bersatu."Sekarang ada semangat baharu. Jadi pesan saya kepada Datuk Seri Hamzah, janganlah cuba memecah-belahkan Bersatu dari luar dengan cerita yang karut-marut. Cubaan Datuk Seri dari dalam telah gagal. Ramai ahli yang setia dengan parti tidak gemar dengan tindak-tanduk Datuk Seri."PN juga semakin stabil dan kukuh. Kepimpinan Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi PN yang baharu mendapat dokongan penuh kepimpinan Bersatu."Bekerjasama dengan parti lawan adalah strategi Datuk Seri Hamzah kerana tidak yakin boleh menang dengan kekuatan sendiri," ujarnya.