BUKIT MERTAJAM - Aktivis Pembela Tanah Air, Chegubard atau nama sebenarnya, Badrul Hisham Shaharin akan menghantar surat tuntutan (LOD) kepada Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid selepas sambutan Aidilfitri kerana mendakwa dirinya telah difitnah.Chegubard berkata, tindakan undang-undang itu akan diteruskan sama ada beliau menerima LOD daripada pihak Mohamad atau sebaliknya."Sama ada saya dapat LOD atau tidak, saya tetap akan menghantar LOD kepada dia kerana dia sudah menggelar saya fitnah," katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Permatang Pauh, Kubang Semang di sini pada Isnin.Menurutnya, perbincangan lanjut bersama peguam akan dilakukan selepas Aidilfitri sebelum tindakan seterusnya diambil termasuk membawa kes tersebut ke mahkamah jika perlu.Dalam pada itu, beliau turut memberi bayangan akan membuat beberapa pendedahan berkaitan isu berkaitan wang zakat selepas sambutan Aidilfitri kelak."Kita harap jangan bermain dengan persepsi atau cuba memutarbelitkan fakta melalui akaun palsu," katanya.Dalam masa sama, Chegubard turut mendakwa akan mendedahkan satu isu yang disifatkan sebagai skandal melibatkan dakwaan pinjaman wang zakat melebihi RM10 juta yang kemudiannya didakwa dilupuskan."Selepas Aidilfitri, kita akan buat pendedahan yang hampir tidak pernah berlaku."Saya tidak pernah dengar negeri lain meminjamkan duit zakat lebih RM10 juta yang akhirnya dilupuskan," katanya.Beliau bagaimanapun tidak memperincikan perkara tersebut dan memaklumkan pengumuman lanjut akan dibuat selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.Berhubung LOD yang dibuat oleh Mohamad, Chegubard turut memaklumkan bahawa peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali bersedia menerima sebarang LOD daripada pihak berkaitan dan tindakan balas juga akan diambil jika perlu."Setakat ini hanya saya yang belum menerima LOD seperti yang dimaklumkan Mohamad dalam sidang medianya baru-baru ini."Tiga lagi yang dinamakan sudah pun menerimanya," katanya.Sementara itu, Chegubard berkata, terdapat beberapa persoalan berkaitan pentadbiran Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Zakat MAINPP yang masih belum dijawab oleh Mohamad walaupun beliau telah mengeluarkan kenyataan media sebelum ini.Menurutnya, kenyataan panjang yang dikeluarkan oleh Mohamad hanya menjawab sebahagian isu yang dibangkitkan manakala beberapa perkara utama didakwa masih tidak diperjelaskan.Chegubard berkata, antara isu yang dijawab oleh Mohamad ialah dakwaan mengenai unsur kronisme dan nepotisme dalam pelantikan jawatan di MAINPP.Bagaimanapun, Chegubard mendakwa, penjelasan tersebut hanya menyentuh sebahagian individu sedangkan persoalan sebenar melibatkan beberapa pelantikan yang didakwa tidak mematuhi syarat kelayakan seperti had umur dan kelulusan akademik."Persoalan yang dibangkitkan bukan melibatkan seorang individu sahaja tetapi beberapa pelantikan termasuk individu yang didakwa tidak memenuhi syarat umur serta kelayakan akademik," katanya.Selain itu, beliau berkata, Mohamad turut memberikan penjelasan berhubung isu pembelian tanah oleh MAINPP namun penjelasan itu didakwa tidak menjawab persoalan utama mengenai penggunaan dana zakat untuk membeli tanah termasuk beberapa lot tanah di Sungai Bakap, Mengkuang Titi dan Tanjung Tokong."Saya mempertikaikan sama ada penggunaan dana zakat bagi pembelian tanah tersebut selaras dengan tujuan agihan zakat kepada lapan golongan asnaf."Persoalannya ialah bagaimana dana zakat boleh digunakan untuk membeli tanah dan kemudiannya dirancang untuk dimajukan bagi menjana keuntungan," katanya.Dalam pada itu, beliau turut mendakwa beberapa isu lain masih belum dijawab oleh Mohamad antaranya berkaitan program Penang Smart Kariah, pemberian bonus kepada pengurusan tertentu serta dakwaan salah guna dana masjid untuk penganjuran kejohanan bola sepak.Chegubard juga mempersoalkan penggunaan dana daripada agensi berkaitan zakat bagi penganjuran Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri TKM 1 serta dakwaan pemberian bantuan zakat kepada individu tertentu termasuk bagi tujuan penyelesaian hutang perumahan.Selain itu, beliau turut menuntut penjelasan mengenai lawatan rasmi ke luar negara yang didakwa melibatkan kos tinggi serta isu bantuan zakat kepada anak Mohamad selaku TKM 1.Jumaat lalu, Mohamad dalam sidang medianya menamakan Chegubard, Ketua Penerangan Pas Pulau Pinang, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Mohd Yusni Mat Piah dan Timbalan Ketua Pemuda Pas, Muhammad Hafiz Alias sebagai individu yang akan diberikan LOD untuk memulakan proses tindakan undang-undang yang didakwa menyebarkan fitnah berkaitan pengurusan MAINPP dan Zakat MAINPP.Mohamad yang juga Yang Dipertua MAINPP berkata, langkah tersebut diambil bagi mempertahankan reputasi serta integriti institusi agama Islam negeri daripada terus diperkotak-katikkan demi agenda politik pihak tertentu.