Hentikan amalan cuti umum mengejut, semak semula Akta Hari Kelepasan 1951 - Samenta

SHAH ALAM - Kerajaan digesa menghentikan amalan mengisytiharkan cuti umum secara mengejut kerana boleh memberi impak tekanan kewangan ketara kepada perniagaan yang kini berdepan kos operasi meningkat dalam persekitaran ekonomi global yang tidak menentu.Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta), Datuk William Ng berkata, trend berulang mengumumkan cuti tambahan dalam tempoh singkat, sama ada di peringkat kebangsaan mahupun negeri, adalah satu tabiat ekonomi yang tidak sihat dan mesti dihentikan.Menurutnya, amalan tersebut sebagaimana cuti umum tambahan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan datang memudaratkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menjadi tulang belakang ekonomi negara."Perniagaan dibina atas keupayaan untuk merancang. Bagi PMKS, setiap hari bekerja dijadualkan dengan teliti. Apabila cuti diisytiharkan secara tiba-tiba, pengilang menghadapi penalti dan terpaksa membayar gaji tiga kali ganda untuk memenuhi obligasi kontrak sedia ada."Sektor perkhidmatan, peruncitan dan makanan dan minuman antara yang paling terkesan, memandangkan stok barangan mudah rosak atau jadual penghantaran terganggu akibat perubahan saat akhir," katanya dalam kenyataan pada Isnin.William menjelaskan, pendirian tersebut juga disokong oleh data ekonomi yang kukuh apabila penyelidikan dilakukan Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA) mengenal pasti peraturan 'Optimal 10' bagi cuti umum."Kajian ke atas 101 negara menunjukkan bahawa produktiviti ekonomi kemuncak dicapai pada tahap kira-kira 10 hari cuti setahun. Melepasi ambang ini, jumlah cuti yang berlebihan mula menghalang prestasi ekonomi."Walaupun cuti pada mulanya boleh merangsang perbelanjaan domestik, penambahan seterusnya membawa kepada pulangan berkurangan kerana kos gangguan operasi dan peningkatan perbelanjaan perusahaan mengatasi manfaat yang diperolehi," katanya.Tambah beliau, jika sesuatu perayaan dianggap penting untuk diisytiharkan sebagai cuti, ia sepatutnya diwartakan lebih awal dan dimaklumkan melalui takwim cuti bagi membolehkan perniagaan melaraskan perancangan tenaga kerja tanpa menanggung kerugian 'mengejut'.Sehubungan itu, pihaknya menggesa kerajaan menyemak semula dan meminda Akta Hari Kelepasan 1951."Secara khusus, kami menggesa kerajaan untuk meminda Seksyen 8 Akta tersebut bagi mengehadkan kuasa menteri dalam mengisytiharkan cuti ad-hoc, kecuali dalam kes kecemasan kebangsaan atau peristiwa penting seperti pertabalan Yang di-Pertuan Agong yang baharu."Kita juga harus mewajibkan tempoh notis sekurang-kurangnya enam bulan untuk sebarang cuti tambahan bukan kecemasan bagi membolehkan perniagaan melaraskan tenaga kerja serta obligasi kontrak mereka."Pada masa sama, menyasarkan untuk merasionalkan jumlah cuti umum kita lebih dekat kepada 'Optimal 10' bagi memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi yang kompetitif untuk pelaburan dan perniagaan," tegas beliau.