Art Market Malaysia ceriakan golongan istimewa sempena Ramadan

KUALA LUMPUR – Sempena kehadiran bulan Ramadan yang penuh keberkatan, Art Market Malaysia menganjurkan Majlis Amal Iftar dan Pertunjukan Seni Catan bagi meraikan golongan istimewa melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang berlangsung di The Grange @ Ampwalk Mall di sini.Program itu menghimpunkan pelukis, penyokong seni, rakan penaja serta wakil badan bukan kerajaan (NGO) bagi meraikan golongan kurang upaya dan individu yang memerlukan sokongan komuniti.Antara NGO yang terlibat ialah Persatuan Pemulihan Orang-Orang Cacat Selangor & Wilayah Persekutuan (PPOC), yang aktif membantu golongan kurang upaya mendapatkan sokongan pemulihan serta pembangunan diri.Pengasas Art Market Malaysia, Rita Hatta berkata, program tersebut mendapat sokongan beberapa organisasi korporat yang prihatin terhadap pembangunan masyarakat serta seni tempatan.Antara penaja yang terlibat ialah CIMB Islamic Bank, Menteri Besar Selangor (Incorporated) atau MBI Selangor, Aurelius Healthcare, Tawakal Specialist Hospital (Kumpulan Perubatan Johor Berhad-KPJ Tawakal) serta Agensi Pemantauan Pemeriksaan Kesihatan Pekerja Asing (FOMEMA).Menurutnya, pihak The Grange @ Ampwalk Mall turut menaja lokasi bagi menjayakan majlis berbuka puasa berkenaan.Beliau berkata, program tersebut bukan sekadar majlis berbuka puasa, sebaliknya menjadi platform untuk mengetengahkan karya seni tempatan di samping memberi peluang kepada golongan istimewa berkarya serta memperkenalkan bakat mereka kepada masyarakat."Kami percaya seni mempunyai kuasa untuk menyatukan manusia tanpa mengira latar belakang, keupayaan atau keadaan hidup."Melalui program seperti ini, kami bukan sahaja meraikan Ramadan dengan berkongsi rezeki, malah memberi ruang kepada golongan istimewa menonjolkan bakat serta potensi mereka kepada masyarakat."Art Market Malaysia diwujudkan sebagai platform inklusif untuk pelukis amatur dan separa profesional, termasuk artis OKU, agar mereka mempunyai peluang yang sama untuk mempromosikan karya mereka."Kami mahu seni menjadi jambatan yang menghubungkan komuniti serta membuka ruang ekonomi kepada artis tempatan," katanya ketika berucap pada majlis perasmian program tersebut.Majlis itu turut menampilkan pelbagai karya lukisan daripada artis tempatan dan sebahagian hasil jualan karya seni berkenaan akan disalurkan kepada Persatuan Seni Sketsa KL Selangor serta PPOC bagi menyokong aktiviti dan program pembangunan mereka.Golongan istimewa yang diraikan dalam majlis tersebut bukan sahaja terdiri daripada individu OKU fizikal, malah turut melibatkan mereka yang mempunyai keadaan seperti autisme, disleksia serta pesakit mental yang memerlukan sokongan komuniti.Antara tetamu kehormat yang hadir memeriahkan majlis ialah Ketua Pegawai Risiko CIMB Islamic Bank, Carol Dass; Timbalan Pengurus Pemasaran Antarabangsa KPJ Tawakal, Khairuddin Khudri serta Pentadbir PPOC, Alif Asyraf Mohd Amin.Art Market Malaysia yang diasaskan oleh Rita Hatta bersama suaminya merupakan inisiatif keusahawanan sosial yang memberi peluang kepada pelukis amatur dan separa profesional tempatan, termasuk artis OKU, untuk mempromosikan karya mereka di sekitar Kuala Lumpur.Melalui usaha tersebut, seni bukan sahaja dilihat sebagai medium ekspresi kreatif, malah sebagai platform memperkasa komuniti serta membuka peluang ekonomi kepada artis tempatan.