KUALA LUMPUR – Pegawai Khas Komunikasi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Gulab Jan Fazal Eladi dan 10 individu yang ditahan semasa himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) di Kompleks Beli-Belah Sogo di sini, bulan lalu memfailkan saman terhadap kerajaan di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin.Mereka selaku plaintif memfailkan saman tersebut melalui firma guaman, Zainul Rijal dengan menamakan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam; Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail sebagai defendan pertama hingga keempat.Turut dinamakan sebagai defendan ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan kelima hingga ketujuh.Peguam yang mewakili semua plaintif, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, terdapat pelanggaran hak mengikut Perkara 5, 9 dan 10 Perlembagaan Persekutuan oleh defendan dengan penahanan salah yang dihadapi kesemua plaintif terbabit.Menurutnya, anak guam turut menyatakan bahawa terdapat kekerasan atau serangan yang tidak perlu dalam proses penangkapan oleh defendan pertama, sementara defendan ketujuh bertanggungjawab menanggung rugi terhadap plaintif."Akibat daripada tahanan salah ini, mereka kehilangan kebebasan diri, kecederaan, ketidakselesaan fizikal, tekanan emosi, maruah dan mental."Jadi saman ini difailkan bagi menuntut pihak-pihak yang berautoriti untuk menanggung rugi dan akibat mereka menafikan hak berperlembagaan plaintif," katanya dalam sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini selepas memfailkan saman tersebut.Berikutan itu, Zainul Rijal berkata, plaintif menuntut semua defendan memohon maaf secara bertulis dan deklarasi bahawa penahanan oleh defendan adalah tidak sah serta bercanggah mengikut Perlembagaan Persekutuan.Katanya, plaintif turut menuntut ganti rugi am yang ditaksir oleh mahkamah, ganti rugi teruk dan teladan, faedah pada kadar lima peratus serta kos tindakan.Pada 8 Februari lalu, media melaporkan seramai 19 individu ditahan termasuk dua yang direman bagi membantu siasatan berhubung perhimpunan GARAH.Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil berkata, tangkapan dibuat susulan perhimpunan ad hoc yang diadakan walaupun pihak polis tidak memberikan kebenaran atas faktor keselamatan dan ketenteraman awam.Menurutnya, daripada jumlah itu, 15 lelaki dan empat wanita tempatan berusia antara 30 hingga 64 tahun ditahan ketika perhimpunan berkenaan berlangsung.AKAN MENYUSUL