MOT perkenal garis panduan baharu kenderaan de-controlled, pikap bawa barangan

PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan (MOT) mengeluarkan garis panduan penggunaan kenderaan de-controlled dan pikap bagi membawa barangan untuk memberikan penjelasan kepada orang awam, pemilik kenderaan serta pemain industri mengenai penggunaan kenderaan tersebut secara sah dan selamat.Menterinya, Anthony Loke berkata, garis panduan itu bertujuan mengelakkan kekeliruan berkaitan penggunaan kenderaan untuk membawa barangan serta memastikan penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan secara lebih konsisten oleh agensi penguat kuasa."Menerusi garis panduan ini, kerajaan menjelaskan bahawa kenderaan barangan dengan berat dengan muatan (BDM) tidak melebihi 7,500 kilogram (kg) dikategorikan sebagai kenderaan de-controlled dan boleh digunakan oleh pemilik atau syarikat bagi membawa barangan milik sendiri yang berkaitan dengan aktiviti perniagaan mereka tanpa memerlukan permit pengendali daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD)," katanya dalam sidang akhbar pada Isnin.Beliau berkata, garis panduan berkenaan akan berkuat kuasa mulai 1 April ini sekali gus memberi tempoh persediaan kepada pemilik kenderaan dan syarikat bagi menyesuaikan operasi mereka.Jelas Anthony, garis panduan itu turut merangkumi penggunaan kenderaan pikap persendirian yang mana pemilik dibenarkan membawa barangan milik sendiri selagi muatan diangkut secara selamat dan tidak melebihi had kenderaan."Langkah ini bukan sahaja memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya, malah membantu mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pemilik kenderaan dan pemain industri," tambah beliau.Selain itu, kementerian mengekalkan kelonggaran pentadbiran kepada pemegang Lesen Memandu Kelas D untuk memandu kenderaan de-controlled dengan berat tanpa muatan (BTM) hingga 4,000kg, walaupun had asal lesen tersebut adalah 3,500kg.Kelonggaran tersebut mengambil kira pertambahan berat akibat pemasangan badan kargo atau struktur tambahan pada kenderaan.Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa penggunaan kenderaan untuk membawa barangan milik pihak ketiga bagi tujuan sewa atau upah masih tertakluk kepada peraturan sedia ada."Sekiranya kenderaan digunakan bagi perkhidmatan pengangkutan barangan komersial, pengendali perlu mendapatkan Permit Pembawa A daripada APAD selaras dengan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715]," katanya.Menteri itu menambah, langkah tersebut bertujuan memastikan aktiviti pengangkutan barangan komersial dijalankan secara sah, teratur dan selamat, tanpa menjejaskan pengguna jalan raya lain."Garis panduan baharu ini juga diharap dapat memudahkan penguatkuasaan oleh JPJ dan APAD, sekali gus mengelakkan penyalahgunaan kenderaan bagi tujuan komersial tanpa permit," jelas beliau.