KUALA LUMPUR - Pendakwah bebas, Zamri Vinoth akan didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa berhubung perhimpunan yang dirancang di sebuah pusat beli-belah, bulan lalu.Berdasarkan sistem e-Kehakiman, Zamri atau nama sebenarnya Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu akan dituduh di hadapan Majistret, Faezahnoor Hassan pada jam 9 pagi.Sementara itu, peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Zamri mengesahkan perkara berkenaan.Sebelum ini, polis sedang mengesan keberadaan Zamri dan aktivis, Tamim Dahri yang dipercayai berada di Thailand bagi membawa pulang mereka untuk menghadapi pertuduhan di mahkamah.Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, usaha mengesan mereka turut melibatkan kerjasama pihak berkuasa Thailand.Katanya, pemeriksaan mendapati mereka dikesan keluar dari negara ini melalui jalan sah ke Thailand.Zamri kemudiannya menafikan dakwaan bahawa beliau cuba melarikan diri susulan kontroversi yang mengaitkannya dengan tindakan menghasut keganasan.Sebaliknya, beliau menegaskan tidak mempunyai sebab untuk berbuat demikian dan bersedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa jika diperlukan.Menerusi satu hantaran di Facebook pada Sabtu, Zamri berkata, beliau juga sedia bertemu Ketua Polis Negara bagi menjelaskan perkara tersebut.Sementara itu, Jabatan Peguam Negara Malaysia (AGC) dilaporkan telah mengeluarkan arahan pertuduhan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat menyebabkan atau berkemungkinan menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.