PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan (KPM) menjelaskan sesi persekolahan berjalan seperti biasa buat masa ini, dan tiada sebarang ketetapan berkaitan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dibuat.Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, kementerian prihatin terhadap kegusaran masyarakat berikutan berita tular mengenai kemungkinan pelaksanaan PdPR."Pada masa ini, sesi persekolahan berjalan seperti biasa. Keutamaan KPM adalah untuk memastikan pembelajaran anak-anak tidak terjejas, serta pada masa sama aspek kebajikan dan kesejahteraan semua pihak terpelihara," katanya dalam kenyataan pada Isnin.Sebelum ini tular kononnya PdPR akan dilaksanakan susulan cadangan Bekerja Dari Rumah (BDR) yang akan diputuskan Kabinet pada Selasa, sebagai langkah penjimatan berikutan ketidaktentuan ekonomi akibat konflik di Asia Barat.Konflik itu menyaksikan Selat Hormuz ditutup sebagai tindak balas Iran terhadap serangan Amerika Syarikat dan Israel, sekali gus menjejaskan laluan penghantaran sekitar 20 peratus daripada 410 juta tan gas cecair asli (LNG) global dan 20 peratus daripada trafik laut dalam untuk penghantaran urea, ammonia, sulfur serta komoditi berkaitan baja lain.Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan negara mempunyai simpanan petroleum sehingga Mei depan.PdPR pernah dilaksanakan di Malaysia hampir dua tahun ketika dunia dilanda wabak Covid-19, lima tahun lalu.