PUTRAJAYA - Aktivis masyarakat, Tamim Dahri bersama penceramah bebas, Zamri Vinoth dan dua lagi individu akan didakwa di mahkamah esok berkaitan siasatan berhubung kenyataan yang mencetuskan perdebatan berbaur provokasi berkaitan isu agama dan perkauman.Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, siasatan terhadap keempat-empat individu tersebut telah selesai dan kertas siasatan telah dirujuk secara berasingan kepada Pejabat Peguam Negara serta Pengarah Pendakwaan Negeri.Menurutnya, rujukan itu dibuat selaras dengan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan."Antara individu yang terlibat ialah Zamri Vinoth yang akan didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur."Beliau akan didakwa di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan berhubung kenyataan penganjuran perhimpunan di perkarangan Kompleks Sogo pada 7 Februari lalu," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya di sini pada Isnin.Mohd Khalid berkata, Tamim Dahri pula dijangka didakwa di Mahkamah Majistret Langkawi, Kedah.Menurutnya, dua lagi individu iaitu P. Mahendra Bhoopathy dan D. Arumugam masing-masing akan didakwa di Mahkamah Majistret Seremban, Negeri Sembilan serta Mahkamah Majistret Jawi, Pulau Pinang.Dalam perkembangan sama, Mohd Khalid memaklumkan pihak polis mempunyai maklumat risikan bahawa Tamim dipercayai telah meninggalkan negara ini."Kita ada maklumat risikan bahawa beliau telah keluar ke negara jiran iaitu Thailand."Dari situ kita masih belum pasti beliau berada di mana dan maklumat lanjut sedang diperoleh," katanya.Beliau berkata, bagi Zamri pula pihak polis mempunyai maklumat awal mengenai pergerakannya dan percaya individu berkenaan mungkin masih berada dalam negara.Tambah beliau, pihak polis akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa negara jiran sekiranya diperlukan bagi memastikan individu terlibat dibawa pulang untuk didakwa di mahkamah.Menurutnya, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan yang boleh menggugat ketenteraman serta keselamatan awam.Terdahulu, polis sebelum ini menjejaki Zamri Vinoth dan Tamim Dahri selepas dipercayai berada di Thailand bagi membawa pulang kedua-duanya untuk menghadapi pertuduhan di mahkamah.Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, usaha mengesan mereka turut melibatkan kerjasama pihak berkuasa Thailand.Menurutnya, kerjasama itu dilaksanakan melalui pegawai perhubungan keselamatan (SLO) PDRM yang ditempatkan di negara berkenaan.Ujar beliau, pemeriksaan mendapati kedua-dua mereka dikesan keluar dari negara ini melalui jalan sah ke Thailand.Media sebelum ini melaporkan Zamri dan Tamim dipercayai berada di Thailand ketika siasatan terhadap mereka masih berjalan.Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilaporkan berkata, siasatan terhadap Zamri berhubung kenyataannya ketika satu perhimpunan di ibu negara pada 7 Februari lalu telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara.Beliau berkata, arahan pertuduhan dicadangkan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu berkaitan kenyataan yang boleh mendatangkan khianat awam sehingga menimbulkan ketakutan atau kegentaran kepada orang ramai.Menurutnya, satu lagi siasatan terhadap Zamri berkaitan kenyataan yang didakwa berbaur penghinaan terhadap kaum India turut dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Pulau Pinang.Ujar beliau, siasatan itu melibatkan cadangan pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.Dalam perkembangan sama, kertas siasatan terhadap Tamim pula dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Kedah.Kes itu melibatkan dakwaan tindakan merosakkan soolam yang menjadi simbol suci agama Hindu di tapak lama sebuah kuil di Langkawi, Kedah.Menurut Mohd Khalid, kes tersebut dicadangkan untuk didakwa di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana didakwa mencemarkan tempat atau objek berkaitan agama.Sementara itu, Zamri menerusi satu hantaran di media sosial menafikan dakwaan bahawa beliau cuba melarikan diri susulan kontroversi yang mengaitkannya dengan tindakan menghasut keganasan.Sebaliknya, beliau menegaskan tidak mempunyai sebab untuk berbuat demikian malah bersedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa jika diperlukan.Malah Zamri juga berkata, dirinya sedia bertemu Ketua Polis Negara bagi menjelaskan perkara tersebut.