MELAKA - Pelantikan Ketua Bahagian (Penaja) bagi lima bahagian di Melaka merupakan tindakan pantas dan cepat oleh pucuk pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam usaha menstabilkan parti mendepani pilihan raya negeri (PRN).Ketua Bahagian Bersatu Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, pengalaman yang ada dalam politik akan digunakan sedaya upaya untuk memberikan perkhidmatan untuk rakyat terutama dalam Parlimen Tangga Batu.Menurutnya, satu mesyuarat telah diadakan bagi agihan tugas dengan keutamaan menjurus persiapan menghadapi PRN Melaka yang dijangka berlaku pada bila-bila masa bermula sekarang."Kami akan percepat persiapan tertentu yang menumpukan kepada menghadapi PRN Melaka yang akan datang ini."Jadi kepada rakyat Melaka, kita akan memberikan tawaran-tawaran yang istimewa kerana pengalaman yang ada pada kita, kita tahu banyak kelemahan, banyak kelompangan yang berlaku dalam Melaka ini yang perlu kita atasi," katanya pada sidang media pelantikan Ketua Bahagian Penaja Melaka.Beliau yang juga bekas Timbalan Speaker Dewan Negara berkata, Bersatu negeri juga akan membariskan tokoh berkaliber terdiri daripada anak muda, agamawan serta ilmuwan dalam pelbagai bidang untuk diketengahkan pada PRN akan datang."Itu sebabnya kami mempunyai keyakinan serta pengalaman yang luas tentang bagaimana untuk mentadbir negeri Melaka dan kami percaya mampu melakukan yang terbaik untuk rakyat Melaka."Kami juga akan menolak segala bentuk pembaziran yang dilakukan oleh kerajaan Melaka pada hari ini, termasuk lawatan-lawatan ke luar negara yang tidak memberi hasil," katanya.Sebagai contoh, katanya, lawatan ke Australia sebelum ini yang memakan belanja hampir RM2.3 juta didakwa hanya sekadar lawatan tanpa sebarang faedah yang jelas."Lebih baik wang yang digunakan untuk lawatan tersebut disalurkan kepada rakyat. Dalam keadaan sekarang, kita tahu kehidupan rakyat semakin mencabar dan banyak perkara boleh dilakukan untuk kebaikan rakyat negeri Melaka."Insya-ALLAH kali ini saya yakin Bersatu negeri akan lebih kukuh di bawah pimpinan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Saya yakin beliau seorang pemimpin berpengalaman dan bersikap terbuka. Kini beliau juga memegang jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional dan telah menunjukkan contoh kepimpinan yang baik," katanya.Beliau turut meletakkan keyakinan bahawa kehadiran Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin selaku Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka akan memberikan impak melalui idea, pandangan dan kebolehannya dalam membentuk permuafakatan ahli-ahli Bersatu di negeri ini bagi menuju kejayaan pada PRN akan datang.Pada 24 Februari lalu, Sinar Harian melaporkan lima daripada enam jawatankuasa bahagian Bersatu di negeri ini mengumumkan pembubaran berkuat kuasa serta-merta.Bahagian terlibat ialah Masjid Tanah, Hang Tuah Jaya, Tangga Batu, Alor Gajah dan Jasin, manakala Kota Melaka tidak terbabit dalam keputusan tersebut.Tan Sri Rahim Thamby Chik yang ketika itu merupakan Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Melaka berkata, peletakan jawatan itu dibuat secara sebulat suara, sukarela dan tanpa sebarang paksaan selepas mengambil kira perkembangan semasa parti di peringkat pusat serta suara akar umbi yang semakin hilang keyakinan terhadap kepimpinan tertinggi parti.Susulan itu, Mohd Radzi yang juga Ahli Parlimen Putrajaya dilantik sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka berkuat kuasa serta-merta.