Polis siasat dakwaan ‘mafia korporat’ dikaitkan dengan Victor Chin

PUTRAJAYA – Polis menjalankan siasatan berhubung dakwaan kegiatan 'mafia korporat' yang dikaitkan dengan seorang ahli perniagaan dikenali sebagai Victor Chin.Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, siasatan tersebut dijalankan oleh pasukan petugas khas Anti-Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.Menurutnya, beberapa tindakan penguatkuasaan termasuk pemeriksaan ke atas beberapa premis berkaitan individu berkenaan telah dilaksanakan bagi membantu siasatan."Kita dalam proses siasatan dan memang benar tindakan telah diambil di beberapa premis yang mempunyai kaitan dengan Victor."Siasatan diteruskan di bawah AMLA dan perkara ini masih dalam siasatan pihak polis," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya di sini pada Isnin.Tambah beliau, polis akan memaklumkan perkembangan lanjut kepada media sekiranya terdapat perkembangan baharu dalam siasatan kes berkenaan.Terdahulu media melaporkan, polis bersama pegawai Suruhanjaya Sekuriti Malaysia telah melakukan serbuan di kediaman serta beberapa premis lain milik Victor.Dalam operasi tersebut, beberapa kenderaan milik syarikat yang dikaitkan dengan ahli perniagaan berkenaan turut disita bagi tujuan siasatan lanjut.Sementara itu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil sebelum ini memaklumkan bahawa Kabinet telah mengarahkan polis serta beberapa agensi penguat kuasa lain termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terhadap dakwaan manipulasi korporat berkenaan.Arahan tersebut dibuat susulan gesaan pelbagai pihak termasuk beberapa menteri kanan supaya sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan yang dilaporkan oleh Bloomberg sebelum ini.Laporan itu mendakwa sekumpulan ahli perniagaan yang digelar ‘mafia korporat’, termasuk Victor dipercayai bekerjasama dengan pegawai SPRM untuk menakut-nakutkan pengasas syarikat dan dalam beberapa kes menggunakan proses mahkamah bagi menyingkirkan mereka daripada syarikat.