41 pegawai, 501 anggota polis bertugas sempena Aidilfitri

PETALING JAYA – Seramai 41 pegawai dan 501 anggota polis akan bertugas di seluruh Selangor bagi memastikan kelancaran aliran trafik serta keselamatan pengguna jalan raya sepanjang sambutan Hari Raya Aidilfitri minggu ini.Kesemua anggota terbabit digerakkan menerusi pelaksanaan Op Selamat 26 dan Op Lancar yang dilaksanakan sempena musim perayaan.Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, penugasan itu turut diperkukuhkan dengan sokongan aset logistik termasuk 70 kereta peronda (MPV) serta 148 Unit Rondaan Bermotosikal."Pemantauan rapi akan dilakukan di 23 lokasi strategik melibatkan 16 daerah di seluruh negeri."Penguatkuasaan had laju akan dipertingkatkan selain memberi tumpuan kepada 53 lokasi hotspot serta 34 lokasi blackspot yang telah dikenal pasti," katanya dalam sidang akhbar selepas Kempen dan Advokasi Keselamatan Jalan Raya Sempena Hari Raya Aidilfitri di Plaza Tol PJS 2 di sini pada Isnin.Turut hadir, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan.Shazeli berkata, pihaknya turut mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan Op Lancar lebih awal bagi mengawal titik kesesakan utama di negeri ini.Menurutnya, operasi tersebut bermula pada 18 Mac hingga 29 Mac 2026."Langkah ini bertujuan memastikan aliran trafik lebih teratur khususnya ketika orang ramai pulang ke kampung halaman serta kembali semula selepas musim perayaan," katanya.Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pemandu kenderaan barangan supaya mematuhi larangan pemanduan yang dikuatkuasakan pada 19 hingga 20 Mac serta 28 hingga 29 Mac ini."Kegagalan mematuhi arahan waktu larangan tersebut merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan denda sehingga RM2,000."Bagaimanapun pengecualian diberikan kepada jentera berat dan kren yang menjalankan kerja kecemasan," katanya.Tambah beliau, orang ramai yang memerlukan bantuan kecemasan atau ingin menyalurkan maklumat berkaitan trafik boleh menghubungi Bilik Gerakan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor di talian 03-5510 0559.Selain itu katanya, orang ramai juga boleh menghubungi CCC Selangor di talian 03-5514 5206 bagi sebarang maklumat atau laporan berkaitan situasi trafik sepanjang musim perayaan.