'Arwah teruja nak pakai tema merah' - Isteri tentera tahu suami maut nahas melalui media sosial

BANDAR PERMAISURI - Isteri kepada seorang anggota tentera yang maut dalam kemalangan di KM70, Jalan Bandar Permaisuri, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu di sini hari ini menerima berita kejadian menimpa suaminya menerusi Facebook, petang tadi.Nor Fatin Mohd Azhar, 36, berkata, dia menerima mesej mengenai kemalangan membabitkan suaminya, Mohamad Shakiran Saidi, 36, menerusi peti pesanan daripada seorang pengguna media sosial itu kira-kira jam 2 petang tadi ketika bekerja di sebuah hospital di Kelantan."Saya tergerak hati untuk membuka peti pesanan dan terkejut apabila menerima berita duka itu."Saya kemudian bergegas pulang ke rumah dan ke Hospital Setiu bersama keluarga serta anak-anak, yang kemudian mendapati benar suami saya telah meninggal dunia," katanya ketika ditemui di pekarangan hospital berkenaan hari ini.Dalam kejadian itu, Mohamad Shakiran dan Muhammad Aminuddin Amran, 21, kedua-duanya anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang menaiki kereta Honda Civic maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan.Nor Fatin menzahirkan rasa sedih kerana hasrat suaminya untuk pulang beraya di kampung tidak kesampaian."Arwah beria mahu pulang dan teruja untuk memakai pakaian sedondon dengan tema berwarna merah pada Aidilfitri."Baju itu dibeli sendiri oleh arwah dan dijumpai berada di dalam kereta yang terlibat kemalangan itu," katanya.Nor Fatin berkata, sebelum ini mereka sekeluarga tidak pernah memakai pakaian raya dengan warna sama namun tahun ini arwah meminta memakai pakaian itu termasuk tiga anaknya.Mohamad Shakiran juga beberapa kali menyatakan tidak sabar untuk pulang berjumpa anak bongsu mereka, Muhamad Harasy Mikhail yang kini berusia lapan bulan.Nor Fatin berkata dia dan arwah suaminya tinggal berjauhan sejak hampir 11 tahun dan tidak menyangka penantiannya untuk tinggal bersama tidak kesampaian. - Bernama