TIMBUL spekulasi di media sosial mengatakan penyanyi, Bella Astillah dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bakal melangsungkan hari bahagia dalam masa terdekat.Dakwaan itu muncul selepas rakan-rakan dunia hiburan tanah air termasuk kenalan terdekat cuba memberi bayangan tentang perkhabaran tersebut, begitu juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertanyakan soal kad jemputan dalam satu majlis baru-baru ini.Menerusi tinjauan di media sosial, peminat sudah mula mencantumkan teka-teki yang tersebar mengenai pasangan merpati dua sejoli itu, dalam masa sama meluahkan keterujaan masing-masing jika penyatuan dua jiwa ini benar-benar direalisasikan.Sebelum ini, Syed Saddiq menerusi hantaran di Instagram berkongsi momen menyambut ulang tahun kelahiran Bella dengan kehadiran dua anak penyanyi itu.Tidak lupa diselitkan bait kapsyen yang cukup menyentuh jiwa dan konsisten menyifatkan Bella sebagai 'Iron Lady'.Perkongsian tersebut kemudian mengundang perhatian apabila usahawan, Ben Ali meninggalkan komen menyatakan 'tak sabarnya nak tunggu seminggu selepas raya', membuatkan netizen tidak senang duduk dengan 'hint' besar itu.Mengintai di ruangan komen, ramai berpendapat seminggu selepas raya yang dimaksudkan adalah pada 28 Mac ini.Umum mengetahui hubungan yang sering digelar peminat sebagai ‘BASS’ - gabungan nama Bella Astillah dan Syed Saddiq – mula menjadi perhatian apabila kedua-duanya bergandingan sebagai duta jenama pakaian sejak tahun lalu.Keserasian mereka mula mendapat perhatian ramai sehingga digandingkan lagi dalam pelbagai rangkaian jenama lain, malah rezeki kedua-duanya tidak putus-putus sehingga sekarang.Lazimnya apabila rakan industri dan pengamal media mula bercakap-cakap atau membuat spekulasi sebegini, jaranglah sangkaan meleset.Apa pun, biar tuan empunya badan sahaja yang umumkan berita rasmi, adakah ia betul-betul perihal perkahwinan atau sekadar undangan rumah terbuka Aidilfitri.