LUMUT – Pemuda UMNO Bahagian Lumut berpandangan semua pihak dalam Kerajaan Perpaduan perlu memberi tumpuan kepada usaha membantu rakyat berbanding membuat tuntutan kerusi untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).Ketuanya, Mohd Rafiq Mohd berkata, perkara itu susulan permintaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Lumut yang meluluskan usul tergempar dalam Mesyuarat Agung Tahunan (MATC) baru-baru ini bagi mencadangkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pangkor diberikan kepada parti berkenaan pada PRU16.Menurutnya, sebagai rakan dalam kerangka Kerajaan Perpaduan, pandangan yang disuarakan oleh mana-mana parti komponen dihormati. Namun, isu pengagihan kerusi pilihan raya tidak boleh diputuskan secara unilateral oleh mana-mana cabang parti."Perkara ini lazimnya diputuskan melalui rundingan dan pertimbangan kepimpinan tertinggi gabungan berdasarkan pelbagai faktor strategik."Antaranya termasuk kekuatan jentera parti di peringkat akar umbi, tahap penerimaan rakyat setempat, rekod perkhidmatan kepada masyarakat serta potensi kemenangan dalam pilihan raya," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.Mohd Rafiq yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berkata, kerusi DUN Pangkor mempunyai sejarah politik serta dinamika masyarakat tersendiri.Menurutnya, dalam tradisi politik negara, kerusi yang mempunyai sejarah panjang dengan sesuatu parti lazimnya akan dihormati oleh rakan dalam gabungan sebagai sebahagian daripada semangat persefahaman dan kestabilan politik.Sehubungan itu, beliau menegaskan sebarang keputusan berkaitan pengagihan kerusi perlu mengambil kira realiti sokongan rakyat di lapangan dan bukan semata-mata berdasarkan tuntutan mana-mana pihak."Pada masa ini, semua pihak dalam Kerajaan Perpaduan seharusnya memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh perpaduan serta meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat."Perkara yang lebih penting ialah memastikan agenda pembangunan kawasan dan kebajikan masyarakat terus diperkasa di samping mengekalkan kestabilan politik serta kerjasama baik antara parti-parti dalam kerajaan demi kepentingan rakyat dan masa depan negara," katanya.Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan PKR Cabang Lumut dalam satu kenyataan mahu menuntut kerusi DUN Pangkor untuk ditandingi pada PRU16 selepas usul tergempar berkaitan perkara itu dibawa dalam MATC cabang berkenaan baru-baru ini.Untuk rekod, pada PRU15, kerusi DUN Pangkor dimenangi Norhaslinda Zakaria dari Perikatan Nasional dengan majoriti 1,011 undi dalam pertembungan lima penjuru, menewaskan calon Barisan Nasional, Pakatan Harapan, Parti Pejuang Tanah Air dan Parti Warisan Sabah.