NIBONG TEBAL - Aktivis, Arumugam Dorasamy mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membuat kenyataan menyebabkan kegentaran awam pada tahun lalu.Pengakuan itu dibuat di hadapan Majistret Nurul Aina Ahmad di Mahkamah Majistret Jawi di sini pada pagi Selasa.Mengikut pertuduhan, beliau yang berusia 56 tahun didakwa membuat kenyataan dengan niat hendak menyebabkan kegentaran awam yang boleh mendorong mana-mana orang supaya melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam yang mana, kenyataan tersebut telah dilihat dan didengar oleh Nor Al Firdaus Nor Al Huda.Tertuduh didakwa melakukan kenyataan itu dalam akaunnya, @arun_dorasamy di pusat beli belah Ikea, Batu Kawan pada jam 3.45 petang, 12 Mac 2025.Oleh demikian, tertuduh didakwa telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan [Akta 574].Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.Tertuduh mengaku faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam Bahasa Melayu namun mohon dibicarakan.Kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Nazran Mohd Sham dan Timbalan Pendakwa Raya, Airina Syazreen Zainurin.Sementara Arumugam diwakili tiga peguam iaitu T Gunaselaan, Balwant Singh Purba dan Dickson Ng.Nazran menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.Gunaselan kemudiannya menerima tawaran yang diberikan pihak pendakwaan tersebut tanpa sebarang rayuan pengurangan jaminan.Nurul Aina menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan menangguhkan kes sehingga 22 Jun depan untuk serahan dokumen.Difahamkan, beliau telah membayar wang jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin sebelum meninggalkan kompleks mahkamah kira-kira jam 9.45 pagi.Terdahulu, Arumugam atau lebih dikenali sebagai Arun Dorasamy tiba di pekarangan bangunan Mahkamah Majistret Jawi pada jam 8.15 pagi, Selasa sambil diiringi tiga peguamnya.Beliau yang berpakaian suit gelap turut diiringi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran.Kulasegaran bagaimanapun tidak menemani beliau sehingga ke kamar mahkamah dan dilihat meninggalkan bangunan Mahkamah Majistret Jawi pada jam 8.50 pagi.Semalam, Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, Arun antara empat individu yang akan dituduh di mahkamah berasingan di beberapa lokasi pagi ini atas kerana mengeluarkan kenyataan hingga mencetuskan perdebatan berbaur provokasi berhubung isu agama dan perkaumanTiga individu lain adalah Penyelaras Himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) Zamri Vinoth di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, Tamim Dahri (Mahkamah Majistret Langkawi, Kedah) dan P Mahendra Bhoopaty (Mahkamah Majistret Seremban, Negeri Sembilan).Mohd Khalid berkata, siasatan terhadap Arun adalah berhubung kenyataan mengajak Persatuan Hindu Agama Ani Malaysia mengadakan protes jalanan sekiranya tiada tindakan diambil terhadap Zamri Vinoth.Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan terhadap Arun selepas menerima laporan berhubung kes itu di Batu Kawan, di sini pada 12 Mac 2025 berkaitan video di aplikasi WhatsApp yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan melalui video dimuat naik di Instagram miliknya.