KUALA LUMPUR - Peguam yang mewakili Zamri Vinoth memberitahu Mahkamah Majistret di sini pada Selasa bahawa Penyelaras Himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) itu ke Thailand pada 9 Mac lalu bukan mahu melarikan diri.Sebaliknya peguam, Muhammad Hariz Md Yusoff berkata, Zamri atau nama sebenarnya Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu meneruskan perjalanan ke negara jiran bagi urusan perniagaan.Katanya, aktivis berusia 42 tahun itu kemudiannya memasuki tanah air semula pada 12 Mac iaitu selepas empat hari di luar negara."Anak guam tidak pernah menerima sebarang notis yang memerlukannya hadir ke balai polis untuk memberi keterangan atau dikehendaki menghadapi pertuduhan sehingga dia dilarang ke luar negara."Ini bukan kali pertama dia ke Thailand, sebaliknya kerap keluar masuk sejak sembilan tahun lalu."Dia juga terlibat dalam menguruskan pernikahan pasangan yang mahu melangsungkan perkahwinan di luar negara, yang mana ia merupakan kerjasama baik antara Majlis Agama Islam Songkla, Thailand dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis," katanya.Beliau berkata, proses keluar masuk Malaysia juga dibuat secara sah menggunakan pasport dan pas sempadan.Justeru beliau berkata, tiada sebarang indikasi menunjukkan anak guam mahu melarikan diri bagi mengelak daripada menghadapi pertuduhan yang dilemparkan terhadapnya.AKAN MENYUSUL