KUALA LUMPUR - Penceramah bebas, Zamri Vinoth menyeru semua pihak supaya mengutamakan pendamaian demi kebaikan negara selepas selesai didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Selasa.Zamri atau nama sebenarnya Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu berkata, sebarang isu yang timbul wajar diselesaikan secara baik tanpa menjejaskan keharmonian masyarakat.Menurutnya, pendekatan ke arah perdamaian adalah langkah yang lebih baik untuk memastikan kestabilan negara terus terpelihara."Apa-apa perkara pun kalau kita boleh bergerak ke arah pendamaian, itu jauh lebih baik demi kebaikan Malaysia," katanya ketika ditemui pemberita sejurus prosiding pertuduhan selesai.Dalam masa sama, Zamri turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Malaysia."Pesanan terakhir saya, selamat hari raya, maaf zahir dan batin."Insya-ALLAH, jumpa lagi dan terima kasih," katanya ringkas.Terdahulu, Zamri Vinoth mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan mengeluarkan kenyataan berhubung penganjuran perhimpunan di hadapan sebuah kompleks beli-belah di ibu negara, bulan lalu.Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Faezahnoor Hassan.Mengikut pertuduhan, aktivis tersebut didakwa mengeluarkan kenyataan yang berpotensi menimbulkan kegentaran awam sehingga boleh mendorong orang ramai melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.Kes itu didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.