Pemandu e-hailing didenda RM4,000, mohon maaf sebar video gores hati orang Islam

SEREMBAN - "Saya minta maaf kepada semua umat Islam di mana saya telah menyebarkan video tersebut tanpa niat apa-apa."Saya cuma bertanyakan persoalan dan ini telah memberi susah hati kepada penganut Islam. Saya minta maaf atas kesilapan saya dan saya harap puan dapat maafkan saya dan beri denda yang minimum."Demikian rayuan P Mahendra Bhoopathy, 53, selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas pertuduhan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.Dia yang bekerja sebagai pemandu e-hailing kemudiannya dijatuhkan hukuman denda RM4,000 oleh Majistret, Nurul Saqinah Rosli dan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan, boleh dipenjara tujuh bulan.Mengikut pertuduhan, tertuduh telah memuat naik hantaran video di akaun media sosial Facebook miliknya dengan kenyataan "kalau kuil India di bawah jambatan haram, yang ini masjid bawah jambatan 'flyover' macam mana haram ke halal eh cuba terangkan".Kenyataan itu mungkin boleh menyebabkan kegentaran kepada mana-mana golongan awam terdorong supaya melakukan suatu kesalahan terhadap ketenteraman awam.Kesalahan tersebut dilakukan pada 27 Februari 2026, kira-kira jam 12.30 tengah hari di Masjid Jamek Dato' Bandar Haji Ahmad Rasah, Jalan Rasah, Kampung Dato Mansor di sini.Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman minimum kerana buat masa ini tidak dapat bekerja selepas keretanya terpaksa dihantar ke bengkel susulan terlibat kemalangan.Ujarnya, buat sementara waktu dia menyewa kereta di bawah syarikatnya, tetapi telah ditarik disebabkan dia telah ditahan di lokap.Tambah Mahendra, dia juga mempunyai seorang anak dan menjaga ayah yang sudah uzur, selain kini berdepan masalah kewangan sehingga bayaran ansuran rumahnya tertunggak lima bulan.Pengarah Pendakwaan Negeri Sembilan, Ku Hayati Ku Haron memohon hukuman setimpal kerana perbuatan tertuduh telah menggugat ketenteraman dan keharmonian negara."Faktor ini memerlukan mahkamah menjatuhkan hukuman bukan saja bagi memberi pengajaran kepada tertuduh sendiri, tetapi juga masyarakat lain di luar untuk tidak menyentuh sebarang isu sensitif terutama berkenaan rumah ibadat penganut semua agama."Keharmonian dan ketenteraman awam ialah satu faktor yang harus diberi pertimbangan utama dan sebarang tindakan yang boleh menggugat ketenteraman awam hendaklah diberi pandangan serius. Hukuman itu kita harap dapat mengekang tindakan mana-mana individu lain melakukan perkara sama," katanya.