KOTA BHARU – Perikatan Nasional (PN) menawarkan peranan dan kedudukan yang lebih baik kepada MIC sekiranya parti itu menyertai gabungan berkenaan sebagai parti anggota.Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya akan menyerahkan surat rasmi kepada MIC bagi memaklumkan penerimaan parti itu sebagai parti anggota dalam gabungan berkenaan.Menurutnya, beliau dijadualkan bertemu Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran di Kuala Lumpur pada malam Selasa bagi menjelaskan keputusan tersebut."MIC sebenarnya telah diterima lebih awal iaitu pada Disember 2025, namun mesyuarat terbaru PN pada 14 Mac lalu telah mengesahkan minit penerimaan parti itu sebagai parti anggota di bawah kepimpinan baharu," katanya kepada pemberita pada Selasa.Beliau memberitahu, setakat ini PN mempunyai empat parti anggota iaitu Bersatu, Pas, Gerakan dan Parti India Malaysia (MIPP) dan sekiranya MIC menyertai gabungan itu, jumlah parti anggota akan meningkat kepada lima.Takiyuddin bagaimanapun menegaskan soal kedudukan MIC dalam Barisan Nasional (BN) bukan urusan PN."Itu isu mereka. Apabila mereka memohon untuk menyertai PN dan kita menerima permohonan itu, bagi kita perkara itu sudah selesai," katanya.Mengulas kemungkinan lebih banyak parti menyertai PN, beliau mengesahkan terdapat beberapa parti lain yang turut mengemukakan permohonan."Memang ada banyak lagi parti memohon untuk menyertai PN, tetapi kita belum membuat keputusan. Baru-baru ini pun ada tiga atau empat parti memohon," katanya.Menurut Takiyuddin, perkembangan tersebut menunjukkan PN kini semakin terbuka dan inklusif di bawah kepimpinan baharu gabungan berkenaan.Beliau berkata, sebelum ini jawatan utama dalam PN kebanyakannya dipegang oleh pemimpin daripada Bersatu dan Pas, namun kini turut melibatkan wakil daripada parti lain."Sekarang kita lihat Timbalan Setiausaha Agung daripada Gerakan dan MIPP, selain Bersatu dan Pas. Kemungkinan MIC juga akan diberikan peranan dan posisi dalam PN," katanya.Tambah beliau, PN juga membuka ruang keahlian kepada pelbagai pihak melalui tiga kategori iaitu parti anggota, ahli bergabung dan ahli bersekutu.Ujarnya, ahli bergabung melibatkan NGO atau parti lain yang bersifat mesra PN, manakala ahli bersekutu pula ialah individu yang ingin menjadi ahli secara langsung.Bagaimanapun, beliau memaklumkan setakat ini tiada parti dari Sabah dan Sarawak yang memohon untuk menjadi parti anggota PN.