Peguam persoal layanan berbeza terhadap Zamri Vinoth

KUALA LUMPUR – Peguam kepada Zamri Vinoth mempersoalkan layanan berbeza yang diterima anak guamnya berbanding seorang lagi individu, Arun Dorasamy yang turut didakwa di bawah peruntukan undang-undang sama.Muhammad Hariz Md Yusoff berkata, Zamri Vinoth atau Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu dibawa ke mahkamah dalam keadaan bergari serta dikawal ketat oleh polis ketika tiba di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Selasa.Menurutnya, keadaan itu berbeza dengan Arun Dorasamy yang hadir ke Kompleks Mahkamah Majistret Jawi, Pulau Pinang tanpa digari dan tidak dikawal pihak polis."Kami ingin menzahirkan bahawa anak guam kami telah dibawa oleh pihak polis ke mahkamah pada pagi tadi dalam keadaan bergari."Namun kami difahamkan bahawa Arun Dorasamy pula dijemput atau diminta hadir ke mahkamah tanpa dikawal oleh pihak polis dan tanpa bergari," katanya dalam sidang akhbar selepas prosiding.Beliau berkata, kedua-dua individu itu menghadapi pertuduhan yang sama di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan."Situasi pertuduhan kedua-duanya adalah sama iaitu di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan."Jadi kami mempersoalkan, mengapa anak guam kami dibawa dalam keadaan bergari dan dikawal rapat oleh pihak polis di kiri, kanan, belakang serta hadapan sehingga dibawa ke mahkamah?," soalnya.Menurutnya, situasi itu menimbulkan persoalan mengenai kemungkinan wujud layanan tidak sama rata terhadap anak guamnya.Dalam masa sama, beliau turut membangkitkan isu kehadiran Timbalan Menteri Undang-Undang yang dilihat mengiringi Arun Dorasamy ke mahkamah."Pihak Arun Dorasamy pula diiringi oleh Timbalan Menteri Undang-Undang seolah-olah menzahirkan bahawa beliau mendapat perlindungan atau sokongan daripada pihak tersebut."Apabila seseorang yang didakwa melakukan kesalahan diiringi oleh seorang Timbalan Menteri Undang-Undang yang portfolionya berkaitan dengan hal ehwal undang-undang, ia boleh memberi impak negatif kepada pandangan masyarakat," katanya.Muhammad Hariz berkata, keadaan itu juga boleh menimbulkan persepsi seolah-olah terdapat sokongan daripada pihak eksekutif terhadap individu yang sedang berdepan pertuduhan."Ini kerana ia melibatkan institusi kehakiman dan institusi pendakwaan."Ia boleh memberikan gambaran seolah-olah individu tersebut tidak melakukan kesalahan atau mendapat sokongan daripada pihak tertentu," katanya.Tambahnya, pada pandangan anak guamnya, keadaan itu memberi gambaran seolah-olah satu pihak mendapat sokongan daripada pihak eksekutif manakala pihak lain tidak.Terdahulu, Zamri mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan mengeluarkan kenyataan berhubung penganjuran perhimpunan di hadapan sebuah kompleks beli-belah di ibu negara, bulan lalu.Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Faezahnoor Hassan.Dalam pada itu, Aktivis, Arumugam Dorasamy turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membuat kenyataan menyebabkan kegentaran awam pada tahun lalu.Pengakuan itu dibuat di hadapan Majistret Nurul Aina Ahmad di Mahkamah Majistret Jawi , Pulau Pinang.