JITRA – Cubaan dua lelaki membawa masuk pelbagai senjata api tiruan dari Thailand ke Malaysia terbongkar apabila mereka ditahan polis di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Sabtu lalu.Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, suspek berusia 27 tahun bersama rakannya berusia 21 tahun ditahan ketika menaiki sebuah Perodua Myvi dalam keadaan mencurigakan.Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, hasil pemeriksaan terhadap kenderaan berkenaan menemukan dua laras senjata api tiruan jenis karbin model M4A1 dan model N4 yang disorok di bawah tempat duduk pemandu serta penumpang.Menurutnya, pemeriksaan lanjut di bahagian bonet pula menemui lapan kotak mengandungi pistol tiruan bersama kelopak selain beberapa kotak kelopak tambahan, peluru manik serta 10 botol gas."Turut dirampas enam bungkusan kecil dan dua bungkusan besar peluru manik dipercayai untuk kegunaan senjata tiruan berkenaan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu di sini pada Selasa.Beliau berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai memperoleh senjata terbabit di sekitar Hat Yai dengan kos keseluruhan kira-kira RM6,500.Menurutnya, suspek yang bekerja sebagai jurutera di sebuah kilang dipercayai aktif dalam satu kumpulan di aplikasi Telegram sebelum menemui pembeli bagi senjata tiruan tersebut."Pada mulanya, suspek membeli untuk kegunaan sendiri, namun selepas mengiklankan di Telegram, dia dipercayai mula berani menjalankan kegiatan menjual senjata tiruan itu."Kita percaya suspek sudah mempunyai pelanggan dan jika tidak ditahan, mereka boleh memperoleh keuntungan sekitar RM2,000," ujarnya.Mohd Radzi berkata, pasaran senjata tiruan itu dipercayai meliputi seluruh negara dengan urusan jual beli dilakukan secara dalam talian melalui kumpulan yang mempunyai kira-kira 25 ahli.Menurutnya, kedua-dua suspek yang berasal dari Pulau Pinang kini direman bagi membantu siasatan lanjut.Kes disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.Dalam pada itu, beliau menegaskan pihak polis akan terus memperketat kawalan keselamatan di pintu masuk sempadan bagi mengekang aktiviti penyeludupan termasuk dadah, senjata dan kemasukan pendatang tanpa izin."Polis komited memastikan keselamatan negara sentiasa terpelihara daripada sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan," katanya lagi.