JOHOR BAHRU – Yayasan Johor Corporation (Yayasan JCorp) bersama rakan strategik berjaya menyelamatkan lebih 2.5 tan makanan lebihan yang masih elok dan selamat dimakan sepanjang Ramadan menerusi pelaksanaan Program MYSaveFood di bazar-bazar Ramadan di seluruh Johor.Inisiatif itu memberi manfaat kepada hampir 4,000 penerima dalam kalangan golongan memerlukan, sekali gus membantu mengurangkan pembaziran makanan yang lazimnya meningkat sepanjang bulan berkenaan.Program berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Pemuda Gema Malaysia serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor dengan sokongan sukarelawan daripada Gerakan Pengguna Siswa, Johor Corporation (JCorp) dan syarikat kumpulannya.Antara syarikat terlibat termasuk Johor Plantations Group, JLand Group serta KPJ Pasir Gudang Specialist Hospital.Makanan lebihan itu dikumpulkan dari bazar Ramadan di beberapa daerah seperti Kulai, Johor Bahru, Segamat, Batu Pahat, Mersing, Kota Tinggi, Muar dan Renggam sebelum diagihkan kepada golongan asnaf dan komuniti B40 termasuk penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR) yang dikenal pasti.Bagi memastikan pengurusan lebih sistematik dan telus, program tersebut turut memanfaatkan aplikasi mudah alih ReMeal bagi merekod jumlah makanan yang dikumpul, mengkategorikan jenis makanan serta menjejak proses pengagihan kepada penerima.Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan JCorp, Mizan Yahya berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan organisasi berkenaan dalam memperkukuh amalan pengurusan sumber secara bertanggungjawab."Pembaziran makanan bukan sahaja isu alam sekitar, malah satu peringatan agar kita lebih menghargai dan mengurus sumber dengan lebih baik."Melalui Program MYSaveFood ini, Yayasan JCorp bersama rakan strategik memastikan makanan lebihan yang masih elok dimanfaatkan sebaiknya, bukannya berakhir sebagai sisa,"katanya.Menurut beliau, kejayaan menyelamatkan lebih 2.5 tan makanan dan menyalurkannya kepada hampir 4,000 penerima membuktikan bahawa kerjasama pelbagai pihak mampu memberi impak positif kepada masyarakat dan alam sekitar."Selain pengagihan makanan, program ini turut berperanan mendidik masyarakat mengenai kepentingan pengurusan makanan secara berhemah serta menggalakkan pengurangan pembaziran dalam kalangan peniaga dan orang ramai,"katanya.Program MYSaveFood merupakan sebahagian daripada inisiatif alam sekitar dan kesejahteraan komuniti Yayasan JCorp dalam usaha membina masyarakat yang lebih prihatin dan mampan di Johor.