KOTA BHARU – Perikatan Nasional (PN) menegaskan gabungan itu sudah bersiap sedia menghadapi sebarang bentuk pilihan raya, termasuk Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada bila-bila masa bermula sekarang.Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bagaimanapun berkata, pihaknya menjangkakan PRU16 tidak akan berlaku pada tahun ini."Ramai yang menjangkakan tahun ini akan ada pilihan raya mengejut, khususnya PRU. Jadi, dari segi PN, kita sentiasa bersiap sedia menghadapi apa sahaja bentuk pilihan raya," katanya kepada pemberita pada Selasa.Menurut beliau, PN akan menggunakan formula PRU15 lalu dalam proses agihan kerusi.Ujarnya, bagaimanapun, sedikit perubahan akan dilakukan bagi memastikan PN terus kukuh berdepan PRU16 nanti.Mengulas mengenai PRN Melaka, Takiyuddin memberitahu kemelut yang melanda kepimpinan PN di negeri itu sebelum ini sudah selesai.Katanya, gabungan itu telah melantik pemimpin baharu untuk mengetuai jentera pilihan raya di negeri tersebut selepas berlaku peletakan jawatan secara beramai-ramai."Untuk Melaka, kita telah melantik Datuk Dr Mohd Radzi Jidin sebagai Pengerusi Bersatu Melaka dan Pengerusi PN Melaka."Jentera pilihan raya di sana telah pun digerakkan. Kita bersedia sepenuhnya," katanya.