Zamri sedia hadapi pertuduhan, yakin tidak bersalah

KUALA LUMPUR – Aktivis, Zamri Vinoth bersedia menghadapi pertuduhan di mahkamah dan yakin akan dapat membuktikan dirinya tidak bersalah.Peguamnya, Muhammad Hariz Md Yusoff berkata, anak guamnya akan melalui proses perundangan yang sewajarnya bagi membersihkan namanya."Anak guam kami bersedia untuk menghadapi pertuduhan ini dan akan membuktikan bahawa beliau tidak bersalah," katanya kepada pemberita selepas prosiding di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Selasa.Menurutnya, pertuduhan yang dikenakan terhadap Zamri berkaitan satu hantaran di Facebook mengenai pemakluman penganjuran perhimpunan aman."Pertuduhan yang dibacakan kepada anak guam kami adalah berkaitan satu hantaran di Facebook yang menyentuh mengenai notis penganjuran dan pemakluman satu perhimpunan."Apa yang dimuat naik oleh anak guam kami ialah surat pemakluman himpunan aman di kawasan Kuala Lumpur yang ditujukan kepada Ketua Polis Daerah," katanya.Beliau berkata, surat tersebut secara jelas menyatakan bahawa perhimpunan itu dianjurkan secara aman dan mematuhi undang-undang."Dalam surat itu dinyatakan secara khusus bahawa himpunan tersebut dianjurkan secara aman dan tertib serta mematuhi peruntukan undang-undang."Namun, atas asas itu anak guam kami dituduh bahawa tindakan tersebut mungkin menimbulkan kegentaran awam yang boleh mendorong orang ramai melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam," katanya.Terdahulu, Zamri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas satu pertuduhan mengeluarkan kenyataan berhubung penganjuran perhimpunan di hadapan sebuah kompleks beli-belah di ibu negara bulan lalu.Mengikut pertuduhan, Zamri yang juga aktivis berusia 42 tahun itu didakwa mengeluarkan kenyataan yang berpotensi menimbulkan kegentaran awam sehingga boleh mendorong orang ramai melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.Kenyataan itu didakwa dibuat di laman Facebooknya ‘Zamri Vinoth’, yang telah dilihat dan didengar oleh seorang lelaki di sebuah restoran nasi kandar di Dang Wangi di sini pada jam 12.23 tengah hari, 3 Februari lalu.Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.