87 syarikat pengendali umrah disiasat MyCC berkait kartel harga

KUANTAN – Sebanyak 87 syarikat pengendali umrah disiasat Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) kerana disyaki terlibat dalam kartel penetapan harga pakej ke Tanah Suci.Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, siasatan dijalankan bagi melindungi pengguna daripada manipulasi harga oleh pihak tidak bertanggungjawab.Menurutnya, amalan kartel berlaku apabila beberapa syarikat berpakat menetapkan harga sehingga menutup persaingan sihat dan menafikan peluang rakyat mendapatkan tawaran lebih kompetitif."Ini bahayanya kartel, sebab itu di bawah KPDN kita ada MyCC, tujuannya untuk melawan amalan ini. Kartel umrah ini adalah salah satu sedang disiasat"Setakat ini, 87 syarikat sedang disiasat dan jumlah ini menunjukkan peningkatan berbanding sebelum ini," katanya.Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Jualan Rahmah Madani Mega Aidilfitri 2026 dan Agihan Wakalah Zakat Korporat SSM di Perkarangan Masjid Sungai Isap Perdana di sini pada Selasa.Hadir sama, Pengarah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Kamarudin Mohd Daud.Seramai 100 penerima asnaf telah menerima bantuan yang terdiri daripada sumbangan tunai RM200 seorang dan satu set bakul makanan bernilai RM100 daripada SSM Pahang dengan kerjasama Pertubuhan Intelek dan Bestari Indera Mahkota.Mengulas mengenai faktor keselamatan jemaah susulan situasi konflik peperangan di Asia Barat, Fuziah menasihatkan bakal jemaah agar menilai semula kemampuan atau 'istita’ah' sebelum merancang perjalanan."Umrah itu bukan ibadah wajib berbanding haji. Jika keadaan perang menjejaskan keselamatan, maka ia tidak memenuhi syarat istita’ah."Sebaiknya utamakan keselamatan diri dan keluarga terlebih dahulu," jelasnya.Dalam perkembangan berkaitan, Fuziah turut menyentuh mengenai pelaksanaan Jualan Rahmah, Fuziah berkata, inisiatif itu bertujuan membantu rakyat menjimatkan kos sara hidup, khususnya menjelang Aidilfitri.Menurutnya, program tersebut akan dilaksanakan di seluruh negara bagi memastikan lebih ramai rakyat berpeluang mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih berpatutan."Pagi ini kita berada di Program Jualan Rahmah Madani Mega sempena Aidilfitri di Sungai Isap Perdana, manakala petang ini aktiviti sama akan diteruskan di Kampung Sepat."Sepanjang Ramadan ini di negeri Pahang, sebanyak 178 Jualan Rahmah sempena Aidilfitri dirancang dengan 133 jualan telah pun dilaksanakan setakat ini dan baki program akan diteruskan sehingga 30 Mac ini," katanya.