SHAH ALAM – Pihak polis diminta memberikan penjelasan berhubung tindakan berbeza dalam isu pemakaian gari terhadap dua individu ketika dibawa masuk bagi menghadapi pertuduhan di mahkamah.Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh berkata, timbul persoalan sama ada wujud prosedur operasi standard (SOP) berbeza dalam pengendalian ketika membawa kedua-dua tertuduh ke mahkamah."Seorang digari dan seorang lagi tidak digari. Bolehkah pihak polis memperjelaskan mengapa perkara ini berlaku?"Adakah SOP berbeza kerana Arun (Arun Dorasamy) diiringi oleh Timbalan Menteri berbanding Zamri (Muhammad Zamri Vinoth)? Kami minta penjelasan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.Beliau turut mempersoalkan keadilan dan ketelusan dalam tindakan penguatkuasaan."Sama juga dengan kes bendera terbalik, yang didakwa ialah individu yang mempertahankan bendera, tetapi individu yang menterbalikkan bendera secara sengaja masih lagi bebas."Keadilan apakah ini?" katanya lagi.Terdahulu, pendakwah bebas, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu dibawa masuk ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dengan tangan bergari dan diiringi kawalan polis yang ketat sebelum prosiding bermula.Pada masa sama, aktivis, Arun Dorasamy hadir ke Mahkamah Majistret Jawi, Pulau Pinang tanpa bergari dan diiringi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran.Kedua-dua individu tersebut yang dihadapkan ke mahkamah bagi pertuduhan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan masing-masing membuat pengakuan tidak bersalah.