KOTA BHARU - Jenazah dua anggota tentera darat yang maut kemalangan di KM70, Jalan Bandar Permaisuri, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu semalam, selamat dikebumikan mengikut istiadat ketenteraan hari ini.Muhammad Aminuddin Amran, 21, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Binjai, Mulong di sini pada 4.35 pagi manakala Mohamad Shakiran Saidi, 36, di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kedondong Hilir, Bunut Susu, Pasir Mas pada 10.35 pagi.Mohamad Shakiran dan Muhammad Aminuddin yang bertugas di Kem 7 Workshop Briged Tebrau, Johor maut selepas kereta Honda Civic dinaiki mereka terlibat kemalangan semasa dalam perjalanan untuk bercuti di kampung halaman.Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Mohd Zain Mat Dris berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan mereka dari arah Kuala Terengganu ke Kota Bharu hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung lori treler. Perlanggaran itu menyebabkan kereta mangsa menggelongsor ke laluan bertentangan dan bergesel dengan kereta Proton Saga, sebelum melanggar kereta Perodua Alza yang diparkir dalam garaj berbumbung berhampiran tempat kejadian. - Bernama