Polis terima empat laporan dakwaan emas palsu di premis pajakan

KUALA LUMPUR – Polis menerima empat laporan berhubung dakwaan penebusan emas palsu di sebuah premis pajakan di Sungai Besi di sini.Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, laporan tersebut melibatkan dua pengadu terdiri daripada pembeli surat pajakan dan pemilik emas, selain pengurus premis berkenaan.Menurutnya, dua laporan pertama dibuat pada 10 Mac lalu oleh dua lelaki tempatan, manakala dua lagi laporan susulan dibuat oleh pengurus premis masing-masing pada 11 dan 13 Mac."Siasatan awal mendapati pengadu telah menggadaikan sebanyak 19 keping jongkong emas dengan nilai keseluruhan kira-kira RM225,530 antara 28 Julai 2025 hingga 3 September 2025."Bagaimanapun, pada 10 Mac 2026, pengadu mendakwa emas yang ditebus adalah palsu," katanya dalam kenyataan pada Selasa.Mohd Rosdi berkata, pihak Ar-Rahnu bagaimanapun telah membuat laporan polis bagi menafikan dakwaan tersebut.Menurut beliau, laporan utama kes berkenaan telah dirujuk kepada Bank Negara Malaysia (BNM) memandangkan aspek pelesenan serta penyelarasan operasi Ar-Rahnu berada di bawah kawal selia institusi itu."Laporan lain berkaitan kes ini turut dirujuk bersama bagi tindakan lanjut," katanya.